Polis mula menahan beberapa individu di pekarangan kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Individu-individu berkenaan dipercayai ditahan kerana disyaki pihak berkuasa sebagai peserta perhimpunan membantah rumah ibadat haram yang dirancang diadakan malam ini.
Antara yang ditahan ialah Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim dan peguam Haniff Khatri Abdulla.

Seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak yang dipercayai anak kepada pasangan itu juga diiringi oleh polis ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi yang terletak berhampiran.
Dalam satu catatan Facebook, peguam Aidil Khalid mengemas kini bahawa penyelaras himpunan itu, Zamri Vinoth turut ditahan, selain dua individu lain, Tamim Dahri dan Jamalee Bashah.

Aidil juga kedengaran dalam video yang menunjukkan penangkapan Haniff, bertanya kepada polis di bawah seksyen apa peguam itu ditahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, tiba di lokasi berhampiran Sogo hampir jam 9 malam, manakala Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, sebelum itu telah berbincang dengan peserta perhimpunan.
Fadil kemudian mengesahkan kepada media penahanan Zamri.

Sekitar jam 9.00 malam, Sazalee kedengaran mengeluarkan arahan bersurai kepada orang ramai, dengan kehadiran anggota polis semakin bertambah di lokasi tersebut.
Sumber polis memaklumkan bahawa bilangan tangkapan setakat 9.30 malam telah meningkat kepada 16 orang, termasuk beberapa yang ditangkap berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru semasa dalam perjalanan ke tapak perhimpunan.
Polis beruniform dan berpakaian biasa di lapangan berhampiran Sogo dan kawasan sekitarnya terus dilihat menghampiri orang ramai yang dianggarkan lebih 100 orang.

Beberapa anggota polis yang dilengkapi dengan peralatan antirusuhan juga dilihat bersiap sedia di beberapa tempat di sekitar kompleks tersebut.
Setakat ini, tiada pemimpin PAS terkemuka dilihat walaupun sebelum ini ia telah menyatakan sokongan terhadap protes berkenaan.
Sementara itu, seorang peserta perhimpunan meluahkan rasa kecewanya dengan tindakan polis yang menghalang mereka daripada berhimpun.

Syed Muhammad Shafiq Syed Ja’afar berkata dia tiba di Sogo kira-kira jam 8 malam hanya untuk melihat kehadiran polis yang ramai dan peserta perhimpunan mula ditangkap.
“Situasi ini jelas merupakan satu bentuk intimidasi terhadap orang awam yang ingin menggunakan hak mereka untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.
"Wakil-wakil NGO ditahan sebaik sahaja tiba hanya kerana memakai pakaian berlogo. Orang awam yang sekadar berada di kawasan tersebut turut diarahkan beredar, dan ada juga yang ditahan.
"Saya turun menyertai perhimpunan pada malam ini untuk menyatakan bantahan terhadap cara kerajaan menangani isu ini. Kerajaan dan pihak berkuasa dilihat terlalu berlembut serta memberi muka kepada penceroboh, dan perkara ini menimbulkan keresahan kepada saya sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang," katanya kepada Malaysiakini.

Dia menambah bahawa perhimpunan itu bukan bertujuan untuk menentang mana-mana agama atau kaum tetapi semata-mata untuk membantah pembinaan rumah ibadat secara haram.
Dia berkata adalah lebih baik jika ketegasan yang ditunjukkan oleh polis malam tadi juga dikenakan terhadap orang yang menceroboh tanah.
