Paling Popular
Terkini
story images
story images

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan nilai dagangan Malaysia dengan negara luar mencecah RM3 trilion, kenaikan melebihi 6 peratus ketimbang tahun sebelumnya.

Angka ini selari dengan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2025, yang diunjurkan meningkat hampir 5 peratus. Dari sudut makro, prestasi negara nampak meyakinkan, nilai ringgit mengukuh, kadar pengangguran kekal pada paras terendah dan inflasi pula terkawal.

Pencapaian ini patut dipuji, terutamanya apabila dilihat dalam konteks keadaan global yang tidak menentu. Ketidaktentuan ekonomi telah mendorong ramai pelabur beralih kepada aset yang lebih selamat, emas mencecah paras tertinggi, lonjakan 65 peratus tahun lepas, manakala perak naik 150 peratus, dan platinum 125 peratus.

Strategi pelaburan emas oleh kaum ibu terutamanya dari pantai timur Malaysia memberi pulangan yang amat baik berbanding pelaburan canggih oleh pengurus dana yang bertali leher.

Kita harus bertanya, adakah angka-angka besar seperti ekonomi naik, inflasi rendah, ringgit mengukuh, dan nilai dagangan yang tinggi ini dirasai semua, dan diterjemahkan ke dalam poket rakyat?

Biar saya huraikan beberapa fakta dan angka-angka untuk dapat menjawab persoalan sama ada kemakmuran ini dikongsi secara saksama atau tidak.

Pertama, walaupun ekonomi negara berkembang 16 peratus di antara tahun 2019 hingga 2024, kuasa beli sebenar pekerja (gaji selepas ditolak inflasi) pada tempoh yang sama tidak naik dengan setimpal. Ia hanya naik pada kadar yang amat rendah, iaitu 4 peratus dalam tempoh 5 tahun. Maksudnya gaji bersih yang mereka dapat tidak setimpal atau jauh lebih rendah dengan kenaikan ekonomi.

Bagi graduan muda yang baru habis belajar, walaupun ekonomi berkembang dengan pesat, gaji sebenar mereka pula menjunam 11 peratus! Gaji penengah mereka sekarang adalah RM1,839 sebulan, hanya sedikit lebih tinggi dari gaji minimum sekarang. Malah, ianya lebih rendah dari gaji yang diterima graduan pada tahun 2019.

Alasan "pekerja tidak produktif" adalah mitos; produktiviti kita naik 5.3 peratus, jauh lebih pantas daripada gaji. Kita kerja kuat, tapi gaji dapat naik sikit sahaja.

Kedua, walaupun kadar pengangguran kini 2.9 peratus - terendah sejak 2014, kadar pengangguran orang muda adalah lebih tiga kali ganda tinggi – sekitar 10 peratus. Dalam tempoh hampir sedekad, kadar pengangguran belia hanya jatuh amat sedikit, dari 10.5 peratus tahun 2016 hanya ke 10.3 peratus tahun 2024.

Yang lebih parah adalah lepasan universiti dan kolej.

Hampir satu daripada tiga graduan under-employed — pekerjaan yang tidak setimpal dengan tahap pendidikan dan kemahiran mereka. Persoalannya, mengapa ini berlaku?

Jawapannya terletak pada struktur penciptaan pekerjaan. Antara tahun 2019 hingga 2024, hampir satu juta pekerjaan baru telah diwujudkan tetapi hanya sekitar satu pertiga daripadanya adalah pekerjaan berkemahiran tinggi. Dalam tempoh yang sama, hampir 85 peratus - atau sekitar 900,000 - daripada kemasukan baru ke pasaran buruh terdiri daripada graduan. Ketidakpadanan ini menyebabkan ramai terpaksa menerima pekerjaan yang tidak memerlukan ijazah atau diploma.

Data terkini iaitu pada suku ketiga tahun 2025 (S3 2025), under-employment meningkat kepada hampir dua juta orang, ataupun 35.5 peratus daripada pekerja yang berpendidikan ijazah dan diploma yang bekerja. Ini adalah dua juta pekerja berpotensi yang tidak dimanfaatkan oleh ekonomi.

Ketiga, walaupun ekonomi berkembang, ketidaksamaan pendapatan di Malaysia tidak banyak berubah. Sebahagian besar pendapatan tambahan negara dimanfaatkan kepada golongan 10 peratus teratas (T10), manakala bahagian untuk 90 peratus rakyat selebihnya tetap sama atau merosot. Ini pertumbuhan ekonomi seperti huruf “K” atau K-ekonomi ,di mana golongan kaya terus semakin meningkat kekayaannya, manakala yang lain kian jatuh.

Keempat, walaupun ekonomi berkembang dengan baik, kadar kemiskinan - di mana pendapatan bulanan isi rumah sebulan kurang dari RM2,705 tidak banyak berubah, hanya jatuh 0.5% di antara 2019 (5.6 peratus) dan 2024 (5.1 peratus). Kadar kemiskinan di luar bandar masih tinggi, mencecah hampir 10 peratus, ataupun 2.7 kali lebih tinggi berbanding di bandar. Walaupun kadar kemiskinan di bandar tidak tinggi, tapi ada kelompok yang masih miskin. Di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur pun, kadar kemiskinan di flat kos rendah adalah 47 peratus!

Kelima, walaupun majoriti rakyat tidak tergolong dalam kategori miskin mutlak, namun ramai yang terdedah dengan mudah jatuh ke dalam kesusahan. Kerentanan ekonomi (economic vulnerability) masih berada pada tahap yang membimbangkan. Satu cara untuk mengukur kerentanan ini adalah melalui kadar kemiskinan relatif, iaitu jumlah isi rumah yang berpendapatan kurang daripada separuh daripada pendapatan median negara, konsep yang sama dipakai oleh negara maju. Pada masa ini, garisan kemiskinan relatif ditetapkan pada RM3,509 sebulan.

Yang membimbangkan, 16.7 peratus isi rumah Malaysia, atau hampir satu daripada setiap enam keluarga, hidup di bawah paras ini.  Walaupun ekonomi negara berkembang pesat dalam dekad yang lalu, kadar kemiskinan relatif ini tidak berkurangan, malah meningkat ketimbang 15.9 peratus pada tahun 2016.

Adakah keluarga rentan ini mudah jatuh miskin? Ya. Katakan keluarga ini kehilangan sebanyak RM800 sebagai punca pendapatan, ini sudah cukup untuk menjerumuskan hampir satu juta keluarga ini ke dalam kancah kemiskinan.

Keenam, bukan hanya ramai yang senang jatuh miskin, tetapi jumlah hutang juga tinggi. Kadar hutang isi rumah dari saiz ekonomi hampir 85 peratus, antara tertinggi di rantau ini. Benar, kadar pemilikan aset isi rumah juga kelihatan tinggi. Namun persoalan asasnya bukan sekadar saiz, tetapi agihan — siapa yang memiliki aset, dan siapa yang menanggung hutang?

Masalah hutang ini bukan terhad kepada isi rumah semata-mata. Kerajaan juga beroperasi dengan tahap hutang yang tinggi. Lebih membimbangkan, sebahagian besar hasil negara hari ini digunakan untuk menampung komitmen masa lalu. Sebagai contoh, pembayaran pencen tahunan kini hampir menyamai keseluruhan kutipan cukai pendapatan individu manakala bayaran balik hutang tahunan hampir menyamai jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Hakikat ini menjadikan ruang dasar semakin sempit dan keupayaan kerajaan untuk bertindak balas terhadap kejutan menjadi ekonomi terhad.

Ketujuh, di sebalik perkembangan ekonomi yang cemerlang dan angka pelaburan yang mengagumkan, satu persoalan penting perlu diajukan: di manakah bahagian orang Melayu dalam limpahan kemakmuran ini?

Satu petunjuk penting boleh dilihat adalah pada simpanan mereka dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), pelaburan utama bagi komuniti Melayu. Purata simpanan orang Melayu di ASB sebenarnya menurun, daripada RM16,120 pada tahun 2018 ketimbang  RM16,109 pada tahun 2023. Ini berlaku dalam tempoh ekonomi negara berkembang kukuh, menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak diterjemahkan kepada peningkatan kekayaan atau kapasiti menyimpan bagi orang Melayu.

Malah, simpanan majoriti orang Melayu terlalu sedikit, hampir 80 peratus orang Melayu yang menabung di ASB hanya mempunyai simpanan tidak sampai RM590! (Nota: Data simpanan terperinci untuk ASB tidak lagi dikeluarkan kepada umum sejak 2024).

Kelapan, walaupun ekonomi berkembang, ianya tidak memberi manfaat kepada kanak-kanak kita, kualiti kehidupan mereka makin parah. Kadar bantut (stunting) dalam kalangan kanak-kanak meningkat daripada 17.2 peratus pada 2006 kepada 21.2 peratus pada 2022.

Kerajaan ingin mengurangkan kadar bantut ini kepada 14.2 peratus menjelang tahun 2030. Namun, sebaliknya yang berlaku. Ini bermakna lebih 1 daripada 5 kanak-kanak di Malaysia mengalami pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan kronik, yang akan membantutkan perkembangan kognitif dan potensi ekonomi mereka untuk seumur hidup. Ini lagi teruk dari kanak-kanak di Kemboja, negara yang jauh lagi miskin dari Malaysia. Apabila mereka masuk ke sekolah, tidak menghairankan keputusan peperiksaan tidak memberangsangkan.

Lihat sahaja keputusan SPM baru-baru ini. Keputusan subjek kritikal seperti Matematik dan Sains masih teruk. Pelajar yang mendapat gred D, E dan G amat tinggi, separuh dari calon SPM mendapat gred D/E/G dalam subjek Matematik, 40 peratus dalam subjek English, dan 32 peratus dalam subjek Sains.

Negara ini sedang menuju ke arah "Silver Tsunami" atau tsunami warga emas. Kita menjadi tua sebelum negara menjadi kaya. Jadi, negara perlukan kanak-kanak yang sihat dan bijak untuk menggerakkan ekonomi di masa hadapan.

Dengan kadar kelahiran yang makin rendah, tenaga kerja masa depan kita akan semakin mengecil. Berdasarkan data terbaru tahun 2024, purata bilangan anak yang dilahirkan oleh wanita di Malaysia telah jatuh kepada 1.6 orang, di bawah paras 2.1 yang diperlukan untuk mengekalkan keseimbangan penduduk.

Penurunan daripada 4.9 pada 1970 ke 2.4 tahun 2005 ke 1.6 ketika ini bermakna jumlah kanak kanak makin berkurangan. Malah, semua kaum kini mempunyai purata kurang daripada dua orang anak. Sebagai contoh, kadar purata bagi kaum Melayu telah jatuh ke paras 1.9 tahun lalu, manakala kaum Cina mencatatkan 0.9 dan kaum India pula 1.1.

Hampir semua negeri di Malaysia kini mencatatkan kadar kelahiran di bawah paras gantian, termasuk Kedah dengan kadar 1.8. Buat masa ini, hanya Terengganu dan Kelantan yang masih di atas paras penggantian tersebut, itu pun dengan kadar masing-masing sebanyak 2.6 dan 2.3.

Adakah dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang dilancarkan tahun lepas dapat memberi kesamarataan kepada semua. Tidak, RMKe-13 dilihat terlalu konservatif dalam menangani kemiskinan dan jurang kaya dan miskin. Kadar kemiskinan akan masih tinggi, RMKe-13 menetapkan sasaran mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 4.7 peratus. Ini hanya 0.4 peratus lebih rendah berbanding data terkini.

Malah, pekerja juga tidak akan mendapat faedah setimpal. Gaji sebenar dijangka hanya meningkat 1 peratus-2 peratus setahun, jauh lebih rendah dari pertumbuhan ekonomi 5 peratus. Ini tidak adil kepada pekerja.

Jurang pendapatan antara kaya dan miskin juga akan kekal tinggi. RMKe-13 menunjukkan usaha yang terhad untuk mengecilkan ketidaksamaan pendapatan. Penurunan Gini Coefficient dari 0.388 (RMKe-12) kepada 0.386 (RMKe-13) dianggap minimal dan tidak mencerminkan komitmen serius kerajaan untuk rapatkan jurang pendapatan. Malah, jurang etnik dijangka melebar - Indikator etnik tidak disebut langsung dalam RMKe-13.

Isu negara bukan isu tiada wang, tetapi menggunakannya dengan cara yang tidak produktif. Kita masih mengekalkan subsidi yang tidak adil. Untuk setiap RM100 subsidi petrol, golongan kaya menikmati RM42, manakala golongan miskin hanya mendapat RM4.

Kita berbelanja untuk masa lalu, bukan untuk masa depan. Kita juga tidak cermat, hampir RM4.4bil digunakan tahun lepas dan tahun ini untuk memberi wang tunai kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira pendapatan, termasuk kepada menteri, jutawan, dan orang kaya. Ini tidak masuk akal. Lebih baik wang ini digunakan untuk mengatasi isu kebantutan kanak kanak, itu lebih afdal.

Isu negara bukan hanya pertumbuhan ekonomi. Ekonomi masih berkembang. Tetapi, kita harus jujur, jangan lalai dengan mengukur kejayaan dengan hanya melihat pertumbuhan ekonomi semata-mata. Pertumbuhan yang pesat tidak bermakna kemakmuran bersama. Lihat saja tahun lepas, Sudan dan Libya mencatatkan antara kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di dunia tahun lepas - namun, sukar untuk sesiapa pun berhujah bahawa penduduk mereka sedang hidup makmur dan aman.

Kita mempunyai masalah struktur, walaupun ekonomi berkembang, tetapi pekerja mendapat gaji yang rendah dan kuasa beli yang rendah dan terhakis. Ekonomi menjana pekerjaan, tetapi pekerjaan bernilai rendah. Kita mendidik, tetapi graduan menganggur. Kita memberi subsidi, tetapi ia menguntungkan yang kaya.

Ya, pelaburan dan perkembangan ekonomi itu penting, tetapi negara yang akan berjaya di masa hadapan bukanlah negara yang mempunyai angka KDNK atau nilai export tinggi semata-mata, tetapi negara yang mempunyai institusi yang berwibawa, agihan yang adil, dan pemimpin atasan yang bukan hipokrit atau terpalit rasuah. Perkembangan ekonomi harus dirasai semua, terutamanya yang di bawah.

Jika kita tidak membetulkan struktur ekonomi kita sekarang, tiada jumlah pertumbuhan KDNK ataupun jumlah dagangan yang mampu menyelamatkan kita pada masa hadapan.

MUHAMMED ABDUL KHALID ialah Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antabangsa (IKMAS) UKM dan Profesor Adjung di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS