Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, dipanggil buat kali kedua oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Berdasarkan notis daripada Lembaga Disiplin yang dibocorkan kepada media, lembaga itu menerima empat aduan berasingan terhadap Hamzah.
Tiga aduan difailkan pada 5 Feb lalu, manakala satu lagi aduan bertarikh 30 Sept tahun lalu.
"Pada 28 Januari 2026, responden telah membuat satu kenyataan awam berbunyi “jemput pun tidak, nak suruh hadir (ke rumah Muhyiddin) macam mana?” ketika menjawab pertanyaan media di Dewan Rakyat, yang mana kenyataan tersebut telah mencemarkan imej Presiden Parti serta imej Parti secara keseluruhan,” menurut notis tersebut yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Radzi Manan.
Aduan bertarikh 5 Feb itu turut menyatakan bahawa Hamzah didakwa terlibat dalam komplot menjatuhkan Muhyiddin dengan mengumpul Akuan Bersumpah (SD) bagi memanipulasi ketetapan yang dibuat pada retreat parti itu di Gopeng, Perak.

Hamzah juga didakwa cuba mensabotaj Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 dan menggagalkan usul perbahasan untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden parti serta calon Perdana Menteri.
Lembaga Disiplin itu turut memperincikan satu aduan yang diterima pada 30 Sept, berhubung kegagalan Hamzah menghalang ahli parti yang telah dipecat, Wan Saiful Wan Jan, serta beberapa individu lain daripada “merancang dan berkomplot untuk mencetuskan kacau ganggu dan mensabotaj perjalanan perhimpunan agung tahunan parti itu tahun lalu.
Ia juga menyatakan bahawa Hamzah gagal menghalang ahli-ahli parti lain daripada mengeluarkan kenyataan yang memalukan Presiden parti, serta menyerang kepimpinan parti.
Semalam, dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu iaitu Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Harrison Hassan, dan Ketua Bersatu Kuala Langat, Rosnizan Ahmad — secara berasingan menggesa Lembaga Disiplin parti itu menyiasat Hamzah atas dakwaan memperlekehkan kepimpinan Muhyiddin.
Kenyataan ketua-ketua bahagian itu dibuat di tengah-tengah spekulasi mengenai usaha terbaru untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Larut itu melalui satu “petisyen” yang didakwa diedarkan dalam kalangan wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian parti.
Ditangguhkan?
Menurut surat Lembaga Disiplin, Hamzah sepatutnya memberikan keterangannya di ibu pejabat parti itu pada 12 Feb.
Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden Bersatu itu kini berada di luar negara.
Ketika dihubungi, kakitangan pejabatnya memberitahu ia “terpulang kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan” dan enggan mengesahkan sama ada Hamzah telah memberi maklum balas terhadap notis berkenaan atau sebaliknya.
Secara berasingan, satu sumber daripada kepimpinan Bersatu memberitahu bahawa pendengaran itu “bergantung kepada keadaan”.
“Jika dia berada di luar negara, kita boleh tunggu. Sepatutnya tidak menjadi masalah… Lembaga Disiplin akan bertindak secara adil jika ada maklum balas mengatakan dia tidak dapat hadir, jadi kami sanggup tunggu ke tarikh lain,” kata sumber itu.
Namun, notis berkenaan menyatakan bahawa kegagalan menghadiri mesyuarat akan memberi kuasa kepada Lembaga Disiplin meneruskan prosiding tanpa rujukan lanjut, selaras dengan Perkara 22.5 Perlembagaan parti.
‘Gagal disiplinkan penyokong’
Hamzah sebelum ini didakwa menyokong usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin meskipun Timbalan Presiden Bersatu itu secara terbuka menunjukkan kesetiaannya kepada Presiden parti dan menyatakan bahawa dia akan menunggu Muhyiddin melakukan peralihan kuasa.

Dalam satu rakaman yang bocor ketika prosiding disiplin terhadap Wan Saiful tahun lalu, satu suara yang dipercayai milik Radzi cuba mengaitkan Hamzah dengan gerakan anti-Muhyiddin.
Pengkritik Muhyiddin pula berusaha menyingkirkannya atas kebimbangan bahawa parti itu akan kehilangan sokongan rakyat tanpa kepimpinan baru.
Selain Wan Saiful, parti itu juga memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, dan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Semalam, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin, turut menggesa Hamzah mengambil tindakan terhadap tiga individu berkenaan yang masih duduk di bangku PN di Parlimen.
Kegagalan berbuat demikian, kata Afif, berisiko mewujudkan persepsi bahawa Hamzah menolak keputusan disiplin parti “bagi melindungi individu-individu ini”.
Selain Hamzah, Lembaga Disiplin Bersatu juga merancang untuk memanggil sekurang-kurangnya lima ketua bahagian pada 12 Feb, berdasarkan aduan mengenai dakwaan kaitan mereka dengan kenyataan yang telah mencemarkan reputasi parti.
Mereka termasuk Ketua Bersatu Dungun, Abdul Aziz Ismail, Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, Ahmad Nasir Mid (Selayang), Zulkifli Bujang (Johor Bahru) dan Ramlan Meon (Tangga Batu). Kesemua mereka dikaitkan dengan insiden berasingan yang dilaporkan mengkritik Muhyiddin.
