Bersatu Bahagian Raub meluluskan beberapa usul penting termasuk menggesa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu, selain mencadangkan pemecatan beberapa pimpinan tertinggi parti itu.
Ketua Bahagian Bersatu Raub, Mohd Fakruniam Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam dua Mesyuarat Khas Bahagian yang diadakan pada 1 Nov 2025 dan 31 Jan 2026.
Menurutnya, mesyuarat tersebut dihadiri 20 daripada 25 ahli jawatankuasa bahagian dan membincangkan isu dalaman parti serta hala tuju kepimpinan Bersatu.
“Antara ketetapan yang dipersetujui ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dipecat serta-merta, Datuk Seri Faizal Azumu meletakkan jawatan dan Tun Faisal dipecat serta-merta,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas gesaan terhadap Muhyiddin, Mohd Fakruniam berkata ia berpunca daripada dakwaan kegagalan presiden parti itu memulihkan keharmonian dalaman Bersatu serta hubungan dengan parti-parti komponen.
Dia turut mengaitkan perkara itu dengan penglibatan Muhyiddin dalam kes Jana Wibawa yang sedang dibicarakan di mahkamah, selain isu-isu lain yang disebut di Parlimen, yang menurutnya telah mencemarkan imej parti.
Isu moral babitkan Azmin
Sementara itu, usul pemecatan terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, pula dikaitkan dengan dakwaan isu moral.
“Asas kepada usul pemecatan Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali adalah disebabkan isu moral beliau yang diselubungi video seks luar tabie yang berlaku di Sandakan, Sabah.
“Isu ini merencatkan dan memburukkan imej parti di kalangan ahli, komponen dan masyarat secara umum,” katanya.

Bagi Ahmad Faizal Azumu, Mohd Fakruniam berkata gesaan supaya Naib Presiden Bersatu itu meletakkan jawatan adalah berkaitan dakwaan konflik kepentingan membabitkan pelantikan ahli keluarga sebagai pengerusi Lembaga Disiplin parti, serta kenyataan media yang didakwa bersifat menekan pengkritik kepimpinan.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz pula dicadangkan dipecat atas alasan didakwa mewujudkan ketidakharmonian antara pimpinan bahagian dan pusat, selain mengeluarkan kenyataan yang menurut mereka tidak berfakta dan memecahbelahkan ahli.
“Asas kepada pemecatan Tun Faisal sebagai Ketua Penerangan disebabkan ketidakharmonian dan permusuhan yang di wujudkan antara ketua-ketua bahagian dan kepimpinan serta kenyataan-kenyataan yang tidak berfakta serta memanipulasi telah menyebabkan keretakan dan perpecahan di kalangan ahli-ahli parti Bersatu.

“Kehadiran beliau lebih kepada menyokong individu tertentu daripada menguatkan parti dalam menjadi kerajaan pada PRU akan datang,” katanya.
Mohd Fakruniam berkata ketetapan itu dibuat selepas pihaknya mendakwa beberapa ketua bahagian dan ahli Parlimen yang mengkritik kepimpinan parti telah dikenakan tindakan disiplin.
“Sebagai satu contoh, apabila ketua bahagian menegur dan meletakkan hadis Nabi SAW berkaitan umat yang dilaknat Allah SWT dan tidak diterima mahupun di akui umat Nabi, Ketua bahagian itu telah dikeluarkan daripada Kumpulan Whatsapp rasmi Ketua bahagian.
“Kami menegur disebabkan kami sayangkan parti tetapi apabila di tegur ketua-ketua bahagian dan ahli parlimen di pecat.
“Natijah daripada peristiwa-peristiwa ini, kami hilang kepercayaan, hormat dan kesetiaan kepada presiden parti,” katanya.
Dia menegaskan ketetapan tersebut dibuat, menurutnya, demi menjaga akidah, akhlak dan keutuhan parti.
“Di sini saya ingin menegur YB Tan Sri Mahiaddin Yassin, lihatlah sekeliling carilah mudarat kecil daripada mudarat besar.
“Cubalah perhatikan yang menyokong dan mengidolakan kamu adalah mereka yang terlibat dengan isu seks luar tabie, penglibatan dalam kes rogol/mabuk, berbohong dan manipulasi,” tambahnya.
