Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam melaksanakan program pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun KPKT tetap terbuka untuk membantu menyelesaikannya dalam suasana harmoni.
“Oleh sebab itu, di bawah KPKT terdapat Bahagian Ribi (Rumah Ibadat Bukan Islam). Marilah kita sama-sama membantu dan menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas Majlis Sumbangan Kasih Madani di SJKC Bercham di Ipoh, hari ini.
Selain itu, Nga berkata setiap pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang, termasuk keperluan memperoleh kebenaran merancang (KM) daripada PBT.
“Sebenarnya, undang-undang kita telah jelas. Mereka perlu memohon kebenaran merancang dan peraturan ini terpakai untuk semua rumah ibadat termasuk gereja, masjid, tokong dan kuil, tanpa sebarang pengecualian,” katanya.
Nga berkata terdapat struktur rumah ibadah yang telah dibina sebelum kewujudan Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Kanun Tanah Negara 1965.
“Sebahagian rumah ibadat ini telah wujud ratusan tahun lepas. Oleh itu, ia sudah lama berada di situ. Kita perlu mencari penyelesaian melalui proses pemutihan.
“Yang penting, struktur itu tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menceroboh rizab sungai dan tidak mengganggu trafik atau jalan raya,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat tanpa ikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri berkata semua rumah ibadat termasuk kuil, masjid, surau dan gereja perlu mematuhi peraturan yang sama demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.
-Bernama
