ULASAN | Isu “kuil haram” bukanlah perkara baru dalam wacana sosial dan politik Malaysia. Setiap kali isu ini timbul, hampir pasti akan disertai ketegangan emosi dan perdebatan identiti yang jarang membawa penyelesaian menyeluruh.
Episod terkini menjadi lebih signifikan kerana berlaku dalam konteks politik dan geopolitik yang sensitif, meletakkan kepimpinan negara di persimpangan yang sukar antara prinsip reformasi, keharmonian sosial dan kepentingan strategik antarabangsa.
Pada asasnya, isu rumah ibadat tanpa kelulusan sering dibingkaikan sebagai masalah pelanggaran undang-undang perancangan dan status tanah.
Dari sudut pentadbiran, ia melibatkan isu teknikal yang memerlukan penguatkuasaan yang tegas lagi seragam. Namun bagi komuniti yang terlibat – khususnya masyarakat India – membawa makna yang jauh lebih mendalam kerana terkait dengan sejarah pembentukan komuniti, pengalaman marginalisasi serta peranan rumah ibadat sebagai pusat sosial dan budaya.
Banyak rumah ibadat tradisional dibina dalam konteks sejarah yang berbeza dari hari ini. Sebahagiannya wujud sebelum sistem perancangan bandar moden ada, atau dibina dalam persekitaran status sesuatu tanah masih tidak ditentukan secara jelas.
Teo Sue Ann (2021) menjelaskan terdapat banyak kuil komuniti sebegitu mempunyai akar sejarah yang panjang, khususnya kuil yang dibina oleh buruh India di estet pada zaman kolonial.
Legasi kuil-kuil berkenaan diwariskan secara lisan dari generasi ke generasi dan berfungsi sebagai teras kehidupan sosial serta budaya komuniti setempat.
Walaupun struktur fizikal itu sering tidak disertakan dengan dokumen geran rasmi, tetapi tetap difahami dan dihayati sebagai ruang suci yang memberi makna serta kebersamaan kepada komuniti.
Kelemahan dibiarkan berlarutan
Ia memperlihatkan jurang yang ketara antara kerangka perundangan moden dan realiti sosial sejarah yang membentuk kewujudan rumah ibadat tradisional tersebut.
Hakikatnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah lama berhadapan dengan isu rumah ibadat tanpa kelulusan yang melibatkan pelbagai agama.
Tindakan yang diambil kadang-kadang tidak konsisten, reaktif dan hanya dibuat apabila isu menjadi tular, bukan melalui pelaksanaan dasar jangka panjang yang jelas.
Isu kuil juga boleh difahami sebagai manifestasi kepada projek pemodenan Malaysia yang masih belum selesai.
Dalam kerangka Shamsul Amri (1996), pemodenan tidak hanya merujuk kepada pembangunan ekonomi dan perindustrian malah turut melibatkan pembentukan bangsa idaman yang bersatu melalui penyelarasan idea, simbol dan institusi dalam masyarakat majmuk.
Walaupun Malaysia berjaya mencapai kemajuan ekonomi yang ketara, namun komponen politik dan ideologi pemodenan khususnya usaha membina identiti nasional sepunya masih berada dalam keadaan tergantung dan dipertandingkan oleh pelbagai kumpulan sosial.
Dalam konteks ini, isu kuil mencerminkan pertembungan antara realiti yang ditakrifkan oleh negara melalui undang-undang dengan realiti kehidupan seharian komuniti yang dibentuk oleh sejarah, memori kolektif dan makna simbolik ruang.
Apabila sensitiviti agama dan kaum digunakan untuk mengangguhkan keputusan dasar, sementara kelemahan tadbir urus perancangan bandar dibiarkan berlarutan, negara sebenarnya terperangkap dalam pengurusan identiti tanpa perancangan jelas.

Ia nampak stabil di permukaan tetapi rapuh dari segi institusi dan integrasi sosial.
Dalam landskap geopolitik semasa yang semakin bersifat multipolar, masa dan konteks sesuatu peristiwa jarang sekali bersifat kebetulan. Dunia hari ini tidak lagi ditentukan oleh suatu kuasa dominan, tetapi persaingan dan perimbangan antara beberapa pusat kuasa utama.
Negara bersaiz sederhana seperti Malaysia berfungsi sebagai negara persimpangan yang perlu mengurus hubungan dengan pelbagai kuasa besar secara serentak tanpa terikat secara eksklusif kepada mana-mana blok.
Mempelbagai rakan strategik
Menurut Kuik Cheng Chwee (2024), dasar luar Malaysia menggunakan strategi perlindungan nilai (hedging) dalam persekitaran antarabangsa yang tidak menentu bertujuan untuk mengurangkan dan mengimbangi risiko sambil memaksimumkan pulangan melalui tiga pendekatan iaitu berkecuali aktif, kepelbagaian inklusif dan penanaman sandaran yang berhemat yang boleh mengehadkan autonomi negara.
Strategi perlindungan nilai beroperasi serentak di dua peringkat.
Pertama, di aras antarabangsa yang bertujuan melindungi negara daripada risiko terperangkap atau ditinggalkan dalam persaingan kuasa besar.
Kedua, di aras domestik berkait rapat dengan keperluan elit pemerintah sebagai pengurus risiko yang perlu menilai implikasi geopolitik terhadap legitimasi politik, keharmonian sosial dan kestabilan pemerintahan dalam masyarakat majmuk.
Hubungan Malaysia dengan India perlu dibaca dalam kerangka ini, bukan sekadar hubungan dua hala biasa tetapi sebahagian daripada usaha mempelbagaikan rakan strategik di tengah persaingan geopolitik Indo-Pasifik.

Lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke Malaysia membawa dimensi geopolitik yang lebih luas merangkumi peranan diaspora, kepentingan perdagangan dan kedudukan India sebagai salah satu pusat kuasa yang semakin berpengaruh.
Isu domestik yang melibatkan komuniti India di Malaysia tidak lagi bersifat neutral dari sudut geopolitik. Walaupun asalnya berpunca daripada kelemahan urus tadbir tempatan dan sejarah sosial yang panjang, tetapi ia berpotensi dibaca sebagai isyarat politik oleh pihak luar.
Di sinilah konsep masa tidak neutral menjadi signifikan. Apabila polemik sensitif berkaitan agama dan identiti etnik berlaku ketika lawatan diplomatik penting, elit pemerintah cenderung bertindak lebih berhati-hati dalam mengawal naratif dan tindakan awam bagi meminimumkan risiko geopolitik.
Ketegangan antara kebebasan awam dan keperluan mengurus keharmonian masyarakat majmuk bukanlah dilema individu semata-mata, tetapi merupakan cabaran struktur yang dihadapi oleh negara seperti Malaysia dalam sistem antarabangsa yang semakin berpecah.
Analisis dasar, langkah konkrit
Jika isu ini terus ditangani sebagai persoalan binaan tidak sah atau ancaman ketenteraman awam, Malaysia berisiko mengulangi kitaran konflik yang sama.
Yang dipertaruhkan bukan sekadar kewujudan struktur fizikal tetapi keupayaan negara untuk menegakkan ketinggian undang-undang secara adil, mengiktiraf realiti sejarah sosial serta mengekalkan kepercayaan antara komuniti.
Cara isu ini diuruskan akan menjadi ukuran penting terhadap kematangan institusi negara dalam mengimbangi tuntutan undang-undang, sensitiviti sosiobudaya dan tekanan geopolitik secara serentak.
Penyelesaian jangka panjang memerlukan pendekatan menyeluruh dan berstruktur termasuk penilaian semula terhadap rumah ibadat lama, mekanisme penyelesaian yang telus, serta dialog antara komuniti dan PBT.
Tanpa kerangka dasar yang jelas dan konsisten, isu ini akan terus berulang dalam bentuk yang berbeza.
Perbincangan awam juga perlu beralih daripada emosi dan label-melabel kepada analisis dasar dan penyelesaian konkrit.
Selagi isu ini dimanipulasi sebagai alat politik identiti, selagi itulah ia kekal sebagai titik rapuh dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Keupayaan mengurus kepelbagaian secara matang bukan saja soal keharmonian dalaman tetapi juga sebahagian daripada kekuatan strategik negara di mata dunia.
TARMIZI ANUWAR ialah ahli akademik gig di Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
