Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Binaan haram: India pun kawal binaan rumah ibadat, kata PM

Anwar Ibrahim hari ini berkata, setiap sesuatu yang mahu dilakukan perlu mematuhi garis panduan undang-undang termasuk pembinaan rumah ibadat mana-mana agama.

Bercakap di Putrajaya hari ini, perdana menteri menegaskan bahawa memang perlembagaan menjamin hak seseorang mengamalkan agama masing-masing namun masih ada aspek yang perlu diberi perhatian.

"Kita tidak boleh biarkan ia (rumah ibadat tanpa kebenaran) bercambah di mana-mana saja – di bawah pokok, di mana-mana (tempat lain).

"Amalan ini mesti dihentikan,” katanya.

Berucap di majlis Kementerian Perpaduan Negara, Anwar berkata, kawalan peraturan membina rumah ibadat turut dilaksanakan di negara luar termasuk India dan China.

"India pun tidak membenarkan (pembinaan tanpa sini) ini, kecuali untuk kuil yang dibina secara sah.

“Jadi marilah kita belajar daripada ini," katanya.

Kenyataan Anwar dibuat beberapa hari selepas isu rumah ibadat haram kembali panas dan ia bertambah tegang dengan tindakan sesetengah pihak mengadakan protes semasa Perdana Menteri India, Narendra Modi, melawat negara ini.

Ekoran protes berkenaan, hampir 20 orang juga ditangkap polis.

Mungkin tidak popular

Menurut Anwar, pihak berkuasa tempatan juga telah diberi arahan untuk merobohkan mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mendapat kelulusan seperti yang sepatutnya.

Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegur individu tertentu yang dilihat merancang untuk merobohkan kuil-kuil yang dibina secara haram.

Pada masa sama, Anwar menegaskan, pendirian itu bukan bermakna dia menyokong pihak yang mendirikan sebarang binaan keagamaan secara haram.

“Walaupun mereka salah, sebarang tindakan mestilah mengikut jalur undang-undang. Jangan kita panaskan lagi suasana.

“Tak ada untung pun (bertindak begitu), dakwah pun tak berkembang, Islam pun tak dapat ditingkatkan kefahamannya.

“Apa yang ditingkatkan hanyalah kebencian dan permusuhan,” katanya lagi.

Menjelaskan pendirian kerajaan, Anwar berkata, dasar tersebut mungkin tidak popular dalam kalangan sesetengah pihak namun ia diperlukan kerana negara terikat dengan undang-undang.

Bagi kuil yang didakwa telah wujud selama ratusan tahun dan perlu dipindahkan, perdana menteri berkata, pengendalinya boleh memfailkan rayuan untuk dipertimbangkan pihak yang berkaitan.

“Tapi janganlah guna alasan (binaan itu) dah ada di bawah pokok itu (ratusan tahun maka) wajib diluluskan,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS