Campur tangan Putrajaya dalam projek penternakan khinzir di Selangor tiada kaitan dengan usaha menyekat hak penganut bukan Islam yang memakan daging khinzir, tegas Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, perdana menteri berkata isu tersebut berkaitan dengan kebimbangan terhadap alam sekitar dan kebersihan, serta keresahan umat Islam dan pihak lain yang tidak memakan daging khinzir.

Bagaimanapun, jelasnya isu ini mesti ditangani dengan berhati-hati dan penuh rasa hormat.
“Kita hormat hak orang yang makan babi. Dia hormat hak kita untuk jaga kawasan yang sesuai.
“Jadi kalau begitu (caranya), ia aman,” kata Anwar dalam ucapan kepada kakitangan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya, hari ini.
Kerajaan Selangor sebelum ini merancang untuk memusatkan penternakan khinzir di negeri itu di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Namun, rancangan tersebut ditangguhkan, sebahagiannya berikutan permintaan Anwar supaya projek itu digantung atau dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai, dengan syarat teknologi yang digunakan adalah “dijamin sepenuhnya”.
Dalam ucapannya hari ini, Anwar berkata kebimbangan terhadap penternakan khinzir bukan hanya terhad kepada umat Islam.
Mengingat kembali pengalamannya tinggal di Pulau Pinang, Anwar berkata dia pernah mempunyai jiran berbangsa Cina yang memakan daging babi tetapi tidak mahu ladang itu berhampiran rumahnya.

“Dia makan babi, tetapi dia tidak mahu ternakan babi di sekitar rumah dia kerana masalah persekitaran, masalah kebersihan, masalah bau.
“Sebab itu bagi saya, saya tidak lihat (isu ini) dari segi kaum,” katanya lagi.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, dia sendiri tidak mahu ladang babi berhampiran rumahnya di Sungai Long kerana tidak tahan dengan baunya.
Isu penternakan babi di Selangor mencetus kontroversi baru-baru ini, malah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyuarakan pandangan dengan menggesa penutupan ladang-ladang di Tanjung Sepat susulan aduan penduduk setempat mengenai pencemaran.
PAS juga cuba mengambil kesempatan daripada isu ini, dan perbahasan dalam kalangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat kadangkala telah menyentuh sensitiviti perkauman serta hak penganut bukan Islam di negara ini.
Bulan lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengulangi pendirian kerajaan negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap kawasan penternakan babi tradisional yang menyebabkan pencemaran.

Susulan itu dia menegaskan bahawa usaha pemindahan bertujuan mencari lokasi yang lebih jauh dari kawasan perumahan, lebih terpencil, dan dilengkapi dengan sistem yang diperlukan.
Amiruddin turut menekankan bahawa Selangor bukan satu-satunya negeri yang melaksanakan inisiatif sedemikian, dengan merujuk kepada langkah serupa yang diambil oleh Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.
