PARLIMEN l Jika sebelum ini Adam Adli Abd Halim menyifatkan cadangan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mengenakan sekatan ke luar negara terhadap pinjaman yang culas sebagai satu tindakan "bangsat".
Namun, hari ini selaku Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam mempertahankan keputusan yang sebelum ini dirinya sendiri menentangnya.
Bagaimanapun Adam berkata, langkah yang diambil kerajaan Madani menyekat peminjam culas ke luar negara tidak seperti mana dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini.

"Seperti mana kita jelaskan tadi, penyenaraian hitam (terhadap peminjam PTPTN) bukan menyeluruh polisi seperti mana kita (kerajaan) lakukan suatu masa dahulu.
"Sebaliknya hanya dalam kes tertentu yang melibatkan perlu tindakan tegas terhadap mereka yang memiliki keupayaan (membayar balik pinjaman) berbanding mereka yang lain.
"Hanya 0.7 peratus daripada keseluruhan peminjam yang culas, itu meliputi kurang 3,000 berbanding 417,000 (secara keseluruhan) peminjam yang disenaraikan culas (oleh PTPTN)," katanya semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Adam berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Richard Rapu (GPS-Betong).
Richard membangkitan mengenai garis masa untuk menilai semula penyenaraian hitam khususnya membabitkan peminjam dalam kelompok B40 supaya selari dengan relaiti pasaran kerja dan kos sara hidup.

Sebelum ini, Adam ketika bergelar aktivis pelajar mengecam pengerusi PTPTN ketika itu Wan Saiful Wan Jan susulan cadangan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar pinjaman.
Adam mendakwa cadangan itu bercanggah dengan aspirasi Pakatan Harapan (PH).
"Wan Saiful tidak membuat kerja ikut aspirasi PH.
"Dia ingat diri dia lagi besar daripada kerajaan sebab buat keputusan bercanggah dengan kerajaan. Asyik bagi alasan menjengkelkan dengan kata nak bincang.
"Dia menjadikan PTPTN badan paling bangsat dalam negara," katanya kepada Malaysiakini.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan yang dibangkitkan dalam taklimat awam pentadbiran tinggi PTPTN.
Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd & Dania Kamal Aryf
