Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Nak pecat, pecat betul-betul, jangan baling batu sembunyi tangan’

Pergolakan dalaman Bersatu semakin memuncak apabila penyokong presiden parti, Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Hamzah Zainudin semakin terpisah sehinggakan ke tahap yang sukar dipulihkan.

Sekutu Hamzah sedang menggembleng tenaga untuk mempertahankannya ketika spekulasi kencang bahawa bahawa gerakan sedang diatur untuk memecat atau menggantung timbalan presiden itu. Lembaga Disiplin parti itu telah memanggilnya buat kali kedua atas dakwaan terlibat dalam usaha cuba menjatuhkan Muhyiddin.

Sementara itu, majlis makan malam anjuran Muhyiddin untuk wakil rakyat Bersatu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu ujian kesetiaan.

Dalam satu hantaran di Facebook malam semalam, pemimpin Bersatu yang digantung keahlianya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar musuh-musuh Hamzah untuk bertindak.

Dia turut menuduh Muhyiddin dikelilingi oleh "kaki ampu dan kaki bodek" serta mendakwa terdapat pemabuk dan pelaku maksiat dalam kalangan mereka. Namun dia tidak menamakan mana-mana pihak.

“Tak perlu berdrama lagi dalam media dengan hantar barua dan budak suruhan. Jadi anak jantan sebenar. Tiga tahun lamanya bacul kamu menunggu nak pecat Dato’ Seri Hamzah Zainuddin!

“Nak pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan macam pondan!” katanya.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin ini tidak mempunyai maruah kerana mereka "terhutang budi" kepada kerajaan Madani.

“Sudahnya dalam Bersatu yang presiden nak dengar sangat hanyalah puak kaki ampu, kaki bodek, kaki jilat, kaki mabuk, dan bermacam-macam kaki yang Allah dan Rasul terang-terang laknat.

“Mana pergi maruah? Mana ada maruah kalau dah kena pegang dengan puak Madani!” katanya lagi.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Apabila diminta menjelaskan kenyataannya, Wan Fayhsal mendakwa pemimpin terbabit terlibat dalam rasuah.

“Memang ada beberapa pimpinan yang rapat dengan Muhyiddin ini sebenarnya ada kes-kes outstanding dengan SPRM.

“Jadi macam mana mereka ini mampu menangkan PN dan Bersatu di mana mereka ni compromised dengan fail-fail (siasatan) yang (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) pegang,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut atau mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Wan Fayhsal merupakan antara Ahli Parlimen Bersatu yang telah dikenakan tindakan berikutan usaha untuk menggulingkan Muhyiddin sebagai presiden parti.

Hamzah sekian lama dituduh menyokong kem anti-Muhyiddin walaupun timbalan presiden Bersatu itu sering menunjukkan kesetiaan secara terbuka kepada presiden parti. Dalam pada itu, pengkritik Muhyiddin mahu menyingkirkannya atas kebimbangan parti akan kehilangan sokongan rakyat tanpa kepimpinan baharu.

Pergolakan dalaman ini reda sejak beberapa bulan lalu. Namun, perebutan kuasa antara kem Muhyiddin dan PAS mengenai kawalan ke atas PN, telah menyemarakkan semula pertelingkahan dalaman Bersatu.

Sejak minggu lalu, kem penyokong Muhyiddin meningkatkan tekanan terhadap Hamzah, termasuk desakan agar timbalan presiden itu dikenakan tindakan disiplin atau dipecat.

Di tengah-tengah ketegangan yang memuncak, Muhyiddin menganjurkan majlis makan malam untuk wakil rakyat dan pemimpin lantikan Bersatu di rumahnya malam tadi, yang disifatkan sebagai majlis ramah mesra menjelang Ramadan.

Sumber yang dihubungi Malaysiakini serta laporan NST yang memetik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Badrolhisham Shafie menyatakan jumlah kehadiran adalah seramai 70 orang. Bersatu mempunyai 23 Ahli Parlimen, 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Senator.

Antara Ahli Parlimen dan Adun yang kelihatan dalam foto termasuk Radzi Jidin (Putrajaya), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Azmin Ali (Hulu Kelang), Afif Bahardin (Taman Medan) dan Hilman Idham (Gombak Setia). Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Menegaskan bahawa perjumpaan itu tiada kaitan dengan usaha menyingkirkan Hamzah, sumber yang rapat dengan Muhyiddin menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi berlebihan.

"Ada yang mungkin menuding kepada jumlah kehadiran wakil rakyat yang dikatakan rendah sebagai bukti sokongan terhadap Muhyiddin semakin merosot.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Kekuatan sebenar Muhyiddin terletak pada akar umbi parti, seperti yang dibuktikan dengan jelas pada perhimpunan agung tahunan Bersatu baru-baru ini," kata sumber itu.

Dia juga menyebut ramai Ahli Parlimen tidak hadir kerana berada di luar negara atau menguruskan kawasan masing-masing, namun ramai Adun yang dikatakan hadir.


Laporan oleh Hariz Mohd, Alyaa Alhadjri dan RK Anand


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS