Selepas penggantungan 12 bulan dibekukan sementara, beberapa pemain ‘warisan’ Harimau Malaya terpaksa berkelana mencari pasukan baru.
Terbaru, penyerang kelahiran Argentina Rodrigo Holgado kembali ke pasukan lamanya Coquimbo Unido di Chile manakala pemain pertahanan Gabriel Palmero memilih Liga Malaysia.
“Rodrigo Holgado kembali ke tempat yang sentiasa menjadi rumahnya, rumah di mana sejarah terus ditulis bersama keluarga aurinegra (kuning hitam),” menurut media sosial Coquimbo Unido.
Kelab itu berkata meraka akan bersama-samanya tanpa mengira sebarang keputusan yang menanti, merujuk kepada kesnya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Holgado dipinjamkan kelam Colombia América de Cali kepada Coquimbo Unido sehingga penghujung bulan Jun.

Sementara itu, Palmero akan bermain bersama musim cuti, antara tiga pasukan terbaik Liga Super di belakang JDT dan Selangor FC.
“Gabriel Palmero adalah Kuching City!” umum Kuching City di media sosialnya sebentar tadi.
Sebelum itu pada September, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengesahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain–Palmero, Holgado, Facundo Garces, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel– melakukan kesalahan pemalsuan dokumen.
Siasatan mendapati FAM menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Kuala Lumpur pada Jun lepas.
FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Bagaimanapun CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain terlibat sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.
Selain Palmero dan Holgado, pemain lain telah kembali ke kelab masing-masing.
