Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taikun media, tokoh prodemokrasi Hong Kong dipenjara 20 tahun
Diterbitkan:  Feb 9, 2026 2:05 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Tindakan keras Hong Kong terhadap pengkritik China membawa kepada pemenjaraan 20 tahun taikun media dan tokoh prodemokrasi Jimmy Lai di bawah undang-undang keselamatan negara itu.

Lai, 78, mengasaskan Apple Daily yang kini ditutup, pernah menjadi salah satu akhbar paling berpengaruh di Hong Kong dan penyokong lantang gerakan prodemokrasi bandar itu.

Akhbar itu ditutup pada 2021, setahun selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan menyeluruh yang secara efektif mengharamkan pembangkang politik.

Lai didapati bersalah pada Disember lalu atas hasutan dan berkomplot dengan kuasa asing, meski dia kekal menegaskan dirinya tidak bersalah sepanjang perbicaraan. Kesalahan paling serius - berpakat dengan kuasa asing - membawa hukuman penjara seumur hidup di bawah rejim keselamatan negara Hong Kong.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara terhadap enam bekas wartawan Apple Daily. Bekas ketua editor Lai Wai Kwong, ketua editor eksekutif Lam Man-chung dan penulis editorial Fung Wai-kong masing-masing dipenjara selama 10 tahun.

Penerbit Cheung Kim Hung dijatuhkan hukuman penjara enam tahun sembilan bulan, penerbit bersekutu Chan Pui-man selama tujuh tahun, dan penulis editorial Yeung Ching-kee selama tujuh tahun tiga bulan.

Dua bekas aktivis yang berkaitan dengan kumpulan advokasi luar negara Stand with Hong Kong juga dipenjarakan, walaupun memberi keterangan terhadap Lai sebagai pertukaran untuk hukuman yang dikurangkan. Chan Tsz-Wah menerima hukuman penjara enam tahun tiga bulan, manakala Andy Li diberikan hukuman penjara tujuh tahun tiga bulan.

Apple Daily menjadi tumpuan pada 2010-an apabila protes pro-demokrasi besar-besaran melanda Hong Kong. Gerakan itu dilumpuhkan sepenuhnya pada Jun 2020, apabila undang-undang keselamatan negara berkuat kuasa. Lai ditangkap dua bulan kemudian dan didakwa di bawah undang-undang tersebut.

Bertindak balas terhadap keputusan itu, anak perempuan Lai, Claire, dilaporkan menyatakan bahawa hukuman itu "sangat kejam", memberi amaran bahawa kesihatan bapanya yang semakin merosot menimbulkan risiko bahawa dia kemungkinan "terkorban sebagai martir di sebalik jeriri besi"

Reporters Without Borders mengecam hukuman itu, menggelarnya sebagai "tirai yang menutup kebebasan akhbar" di Hong Kong.

“… Keputusan mahkamah ini menggariskan keruntuhan sepenuhnya kebebasan akhbar di Hong Kong dan penghinaan mendalam pihak berkuasa terhadap kewartawanan bebas,” ia dipetik sebagai berkata oleh Guardian.

Human Rights Watch berkata hukuman penjara 20 tahun ke atas Lai “secara efektifnya merupakan hukuman mati”.

“Hukuman seberat ini adalah kejam dan sangat tidak adil. Penganiayaan terhadap Lai selama bertahun-tahun menunjukkan keazaman kerajaan China untuk menghancurkan kewartawanan bebas dan membungkam sesiapa sahaja yang berani mengkritik parti Komunis,” katanya.

Amnesty International mengutuk keputusan itu sebagai “satu lagi peristiwa penting yang suram”, dengan mengatakan ia menggariskan kemerosotan Hong Kong daripada sebuah bandar yang ditadbir oleh undang-undang kepada sebuah bandar yang ditadbir oleh ketakutan dan intimidasi.

Media China yang dikawal oleh kerajaan mengeluarkan nada yang jauh lebih keras pada hari Jumaat, melabelkan Lai, seorang warganegara British yang tiba di Hong Kong semasa kecil selepas melarikan diri dari tanah besar China, sebagai “penghasut anti-kerajaan” dan “pengkhianat”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS