Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi kuil Hindu di Dengkil didakwa menceroboh
Diterbitkan:  Feb 9, 2026 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Pengerusi sebuah kuil di Dengkil, Selangor, yang menjadi dipertikaikan beberapa pihak didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan menceroboh.

M Paramaguru, 49, didakwa di Mahkamah Majistret Sepang.

Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Khairatul Animah Jelani.

Menurut pertuduhan, Paramaguru didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran. Kesalahan itu dikatakan berlaku pada jam 4.45 petang, 19 Jun tahun lalu di Jalan Selangor Dredging, Dengkil.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya.

Iznina Hanim Hashim yang bertindak sebagai timbalan pendakwa raya memohon kepada mahkamah agar Paramaguru dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, peguam Paramaguru, Darshela Hari Raja, meminta agar mahkamah menetapkan jaminan yang lebih rendah atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan sebagai pengawal keselamatan.

“Tertuduh telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak kecil berusia enam tahun 11 bulan, manakala isterinya yang berusia 41 tahun adalah seorang suri rumah yang bergantung kepada pendapatan suami.

“Oleh itu, kami meminta agar jumlah jaminan yang lebih rendah dikenakan ke atas tertuduh kerana dia telah bekerjasama sepenuhnya dengan polis dan tidak mempunyai rekod jenayah terdahulu,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan Paramaguru diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Majistret juga menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh untuk penyerahan dokumen.

Paramaguru ditangkap di rumahnya di Jalan Selangor Dredging, Dengkil pada jam 3.30 petang semalam.

Laporan terdahulu menyatakan pemilik tanah tempat kuil dibina sudah memberi tempoh selama seminggu kepada pihak pengurusan binaan terbabit untuk mengosongkan kawasan berkenaan.

Minggu lalu, pihak kuil menafikan dakwaan bahawa binaan tersebut sebagai “haram” serta menegaskan mereka memang bersedia untuk berpindah sejak bertahun-tahun lalu tetapi masalah timbul apabila kerajaan Selangor tidak pernah menyelesaikan dokumen untuk mengesahkan tanah gantin secara rasmi sejak ia diperuntukkan pada 1997.

Suhaili pula menafikan struktur kuil berkenaan wujud semasa dia memperoleh tanah itu.

Sebaliknya dia memberitahu Malaysiakini bahawa hanya terdapat sebuah "kuil beroda" yang diletakkan di tapak berkenaan dan ia tidak melibatkan struktur kekal.

“Jika saya tahu bahawa terdapat sebuah kuil yang menduduki tanah itu, saya tidak akan membelinya walaupun harganya 10 sen,” kata Suhaili.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS