Seramai 21 penduduk suku Orang Asli Jakun dari Kampung Jemeri, Rompin, ditahan pihak polis atas dakwaan menceroboh tanah milik pihak lain.
Wakil penduduk Azman Idom berkata, dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari tadi itu mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita.
Menurutnya, penduduk bertindak merobohkan palang yang dibina di laluan masuk ke kawasan yang didakwa tanah wilayah adat kampung berkenaan.

“Kejadian berlaku apabila penduduk merobohkan sekatan yang dibina oleh pihak syarikat yang kata mereka mempunyai geran tanah kawasan kampung ini.
“Sebelum ini lagi sudah ada perbincangan antara penduduk dengan pihak syarikat berkenaan, tetapi tiada kata putus dibuat.
“Kami sudah tinggal di kawasan ini sejak turun-temurun dan laluan yang disekat ini merupakan ladang kelapa sawit, getah dan kebun pusaka. Ada juga rumah penduduk di kawasan tanah wilayah adat ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Tambah Azman, setakat ini penduduk belum mengenal pasti nama syarikat yang mendakwa memilik geran tanah kawasan terbabit.
“Kami juga belum mengetahui status penahanan penduduk setakat ini sama ada direman atau tidak.

“Mereka berusia antara 26 hingga 61 tahun dan ada yang menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, janting dan masih menyusukan bayi,” katanya.
Azman juga membekalkan nama-nama penduduk kampung dan masalah yang dialami mereka yang ditahan itu.
Mereka adalah:
Kelepah a/l Gantang
Norhadiah a/p Gantang (OKU)
Seriah a/p Gantang
Mili binti Bidin (kencing manis dan darah tinggi)
Salbiah binti Bidin (dalam jagaan anak sakit kronik)
Manadi a/l Bai
Man a/l Nor (anak kecil masih menyusu, umur 6 bulan)
Badariah a/p Bakar (anak kecil masih menyusu, 6 bulan)
Rosidah a/p Idom (dalam jagaan anak patah tangan)
Nurul Izana a/p Idom (anak kecil bersekolah di tabika)
Liza a/p Ahmad (semput)
Resa a/p Samad (gastrik)
Lili a/p Adi (dalam jagaan anak berumur setahun lebih)
Suhaira a/p Seting (sakit Jantung)
Minah Binti Hitam (Kolestrol dan darah tinggi dan sakit lutut)
Zamri a/l Licin
Sarina Binti Abdullah
Anom a/p Did (anak sakit)
Azizah a/p Zainal (semput)
Noriah a/p Mat (anak kecil)
Noraini a/p Adi (anak yang masih menyusu)
Sementara itu Persatuan Suku Jakun Pahang, mengecam keras penahanan tersebut dan menuntut pembebasan segera.
“Mereka ditahan kerana mempertahankan tanah adat kami daripada pencerobohan syarikat luar.
“Kami tuntut pembebasan segera 21 orang adik-beradik kami, hentikan intimidasi dan gangguan terhadap komuniti Orang Asli Jakun serta pengakuan hak tanah adat kami,” kata persatuan itu dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi ketika dihubungi mengesahkan penahanan 21 individu berkenaan, namun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.
“Disahkan pihak Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin telah menahan 21 orang untuk siasatan ekoran aduan kes ceroboh dan khianat.
“Siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, namun siasatan masih belum selesai,” katanya kepada Malaysiakini.
