mk-logo
Berita
‘Dia saksi penting’ - Saifuddin pertahan tahan remaja 16 tahun bawah Sosma

PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan menahan seorang gadis berusia 16 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin berkata tindakan itu perlu  bagi menyiasat remaja itu, yang ditahan bersama bapanya, kerana dia merupakan saksi penting dalam siasatan penyeludupan migran.

Menurutnya, bapa remaja tersebut dikenal pasti sebagai pengangkut aktif untuk kegiatan penyeludupan migran, dan mendakwa lelaki itu mempunyai hubungan yang aktif dengan pihak di negara jiran.

“Kita tahu penyeludupan migran satu jenayah serius dan memang ancaman keselamatan.

“Untuk pasukan polis melengkapkan siasatan, tak cukup hanya dengan empat atau lima hari. Ini kerana ia sangat kompleks dan melibatkan (individu) individu warga Myanmar yang ditahan, yang dibawa ke Thailand dan sampai ke sempadan di Chuping (Perlis).

“Anak berumur 16 tahun ini tentunya saksi penting dalam siasatan, jadi polis tahan dia selama sembilan hari dan kemudian dibebaskan,” katanya.

Saifuddin menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor), yang menggesa Kementerian Dalam Negeri mempercepat pindaan atau pemansuhan Sosma yang telah dijanjikan sebelum ini, susulan penahanan gadis tersebut.

Mengapa tiada pengecualian?

Ketika sidang Dewan Rakyat pada 29 Januari, Ramkarpal mengkritik penahanan remaja itu dan mengingatkan kerajaan bahawa pindaan Sosma amat diperlukan kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengelakkan penyalahgunaan undang-undang berkenaan.

Dia juga mengingatkan kerajaan yang remaja tersebut sepatutnya dibawa ke mahkamah dalam tempoh 24 jam, seperti diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Ramkarpal Singh

Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng turut mempersoalkan mengapa Seksyen 13 Sosma - yang memperuntukkan pengecualian untuk wanita, kanak-kanak dan golongan rentan - tidak diguna pakai dalam kes itu.

Menjawab perkara itu, Saifuddin menjelaskan pengecualian bagi wanita dan kanak-kanak di bawah Sosma tidak terpakai dalam kes itu kerana ia hanya berkaitan isu jaminan.

“Penahanan di bawah Seksyen 4 Sosma bertujuan membantu siasatan kes penyeludupan migran yang melibatkan jenayah rentas sempadan.

“Jadi pengecualian bagi kanak-kanak dan wanita dalam Seksyen 13 (tidak terpakai kerana ia) berkaitan hak jaminan di mahkamah,” katanya.

Remaja itu ditahan di Kedah pada 14 Januari dan dibebaskan pada 23 Januari.

Ibu gadis itu berkata seorang pegawai polis memaklumkan kepadanya yang anaknya ditahan bersama bapa dan beberapa individu lain untuk disiasat di bawah Sosma serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dia juga berkata anaknya mengalami muntah-muntah dan alahan kulit selepas lebih seminggu ditahan.

Semakan hak jaminan, mahkamah khas

Saifuddin berkata dia telah bertemu dengan anggota kabinet pada Jumaat lalu berhubung cadangan pindaan Sosma.

Dia mengakui Seksyen 13 dan 30 akta tersebut telah menerima banyak kritikan sejak sekian lama kerana mengehadkan hak permohonan jaminan dan membenarkan individu ditahan tanpa jaminan untuk tempoh yang lama.

Katanya, pindaan akan melibatkan semakan klasifikasi pertuduhan di bawah akta itu, serta menyemak senarai kesalahan yang tidak boleh dijamin dan kes yang boleh dijamin atas budi bicara mahkamah.

Dia juga berkata mahkamah khas mungkin ditubuhkan bagi mengendalikan kes Sosma, memandangkan perbicaraan kes sebegitu sering mengambil masa yang panjang.

Saifuddin memberi jaminan lebih banyak sesi libat urus akan diadakan, termasuk rundingan dengan anggota Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), sebelum pindaan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat seterusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS