Malaysia Hindu Sangam (MHS) menekankan bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil mesti dijalankan secara adil, setelah mengambil kira implikasinya terhadap keharmonian agama di negara ini.
Mengingatkan kerajaan bahawa Perlembagaan Persekutuan melindungi kebebasan beragama, Presiden MHS, T Ganesan, mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kuil Hindu di negara ini dibelenggu isu legasi.
Dia menegaskan bahawa isu-isu yang mempengaruhi kuil Hindu telah berlarutan sejak sekian lama - berpunca daripada perubahan sejarah dan sosioekonomi sejak sebelum merdeka lagi.
"Banyak kuil Hindu telah wujud sejak puluhan, malah ratusan tahun, dan berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat kebudayaan, kebajikan dan identiti komuniti setempat.
"Sejarah kewujudan ini perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang tindakan pentadbiran.
"MHS menegaskan bahawa kewujudan kuil tanpa kelulusan formal sering berpunca daripada kekangan sejarah, kelemahan tadbir urus lampau, perubahan status tanah serta ketiadaan mekanisme penyelesaian yang jelas pada peringkat awal — dan bukan semata-mata akibat keingkaran undang-undang oleh komuniti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Anwar mengkritik mereka yang mewajarkan pembinaan rumah ibadat yang melanggar undang-undang dan mereka yang ingin mengambil tindakan sendiri untuk menangani perkara tersebut.
Anwar berkata bahawa walaupun Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak untuk mengamalkan agama, ia tidak bermakna kerajaan boleh membenarkan rumah ibadat dibina tanpa mematuhi undang-undang.
"Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung," katanya, sambil menambah bahawa majlis tempatan telah diarahkan untuk merobohkan mana-mana rumah ibadat yang dibina secara haram.
Sehubungan itu, Ganesan berkata banyak kuil Hindu di Malaysia telah wujud sekian lama, termasuk yang lebih seratus tahun.
Kuil-kuil itu, tambahnya, bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat tetapi juga sebagai hab budaya dan identiti.
"Sejarah kewujudan ini perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang tindakan pentadbiran," tambahnya.
Ganesan juga menegaskan bahawa semasa mesyuarat pihak kuil yang dijalankan pada 6 April tahun lepas, pasukannya telah mengemukakan memorandum komprehensif kepada Pejabat Perdana Menteri mengenai isu-isu yang melanda kuil Hindu.
Dalam memorandum itu, Ganesan berkata mereka telah mencadangkan pembentukan sebuah badan untuk mengurus dan menyelaras urusan kuil Hindu.
Badan itu, tambahnya, akan diletakkan di bawah PMO dan diuruskan oleh MHS dan NGO berasaskan agama Hindu yang lain.
"Cadangan ini bertujuan menyediakan penyelesaian jangka panjang dan berstruktur, termasuk mekanisme pemutihan (regularisation / whitening) kuil-kuil yang mempunyai isu pemilikan tanah, selaras dengan undang-undang, keadilan sosial dan realiti sejarah kewujudan kuil di Malaysia,” tambah Ganesan.
Dia kemudian menggesa Putrajaya dan kerajaan negeri untuk memberi pertimbangan serius kepada memorandum tersebut dan mengutamakan dialog untuk menyelesaikan perkara tersebut.
"MHS menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan semua pemegang taruh bagi memastikan rumah ibadat Hindu dipelihara, diurus secara sah dan dihormati, selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menjunjung keadilan, ihsan dan keterangkuman," katanya.
