Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kegagalan janji Buku Harapan punca krisis kuil - MIPP
Diterbitkan:  Feb 10, 2026 2:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mendakwa kegagalan kerajaan menunaikan janji pilihan raya menjadi punca utama tercetusnya krisis perobohan rumah ibadat yang membabitkan komuniti India.

Presiden MIPP SP Punithan berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini membuat komitmen bertulis untuk menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu di peringkat negeri dan menyediakan tanah yang mencukupi bagi kuil serta tanah perkuburan.

"Hakikatnya, jika janji-janji yang dijanjikan dalam Buku Harapan ini telah ditunaikan sejak awal... situasi tegang seperti hari ini tidak akan berlaku.

"Masalah kuil tanpa kelulusan bukan berpunca daripada keingkaran komuniti, tetapi daripada kegagalan dasar, kelemahan pentadbiran, dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang oleh kerajaan sendiri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

SP Punithan

Manifesto PH dalam pilihan raya umum lalu menyebut bahawa Lembaga Wakaf Hindu akan ditubuhkan di peringkat negeri mengikut model Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang. 

Pada peringkat awal, menurut janji itu, PH akan menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu di Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Komuniti tunggu pemutihan

Punithan turut mengulas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menegaskan tindakan “pembersihan” rumah ibadat tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, tindakan tersebut menimbulkan keresahan mendalam dalam kalangan penganut Hindu kerana beban kesalahan diletakkan sepenuhnya ke atas komuniti yang telah lama menunggu proses pemutihan.

MIPP menggesa kerajaan agar berhenti menyalahkan pihak yang dianggap sebagai mangsa keadaan dan segera melaksanakan proses pemutihan yang adil serta tersusun seperti yang dituntut dalam janji politik mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS