Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menangguhkan lelongan yang dijadualkan berlangsung di rumah Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Jamal Yunos, esok.
Pada asalnya, mahkamah menetapkan 11 Februari untuk melelong 14 barangan yang disita pada 28 Januari lalu. Lelongan itu bertujuan untuk menuntut baki kos guaman sebanyak RM66,061.85 yang belum dibayar kepada ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Bagaimanapun, peguam Kok, Sankara Nair memaklumkan bahawa mahkamah telah menangguhkan lelongan tersebut sementara menunggu pelupusan permohonan interplider dan penggantungan yang difailkan oleh anak lelaki Jamal semalam.
Menurut Sankara, prosiding interplider adalah satu proses undang-undang untuk mempertikaikan hak milik barangan yang telah disita.
"Anak Jamal telah memfailkan permohonan interpleader dan penggantungan semalam. Oleh itu, lelongan yang ditetapkan esok telah ditangguhkan sehingga pendengaran permohonan tersebut selesai.
"Jamal menyangkal hak milik barangan tersebut dengan mendakwa barangan yang disita bukan miliknya, sebaliknya adalah milik anaknya," katanya kepada pihak media hari ini.
Beliau menambah bahawa mahkamah masih belum menetapkan tarikh bagi pendengaran permohonan anak Jamal tersebut.

Pada April 2017, pemimpin DAP itu memfailkan saman fitnah terhadap Jamal, yang juga ketua kumpulan "baju merah", berhubung kenyataan yang dibuatnya semasa sidang media mengenai dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Kok mendakwa Jamal telah memberi bayangan bahawa dia telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak beretika.
Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kok dan memerintahkan Jamal membayar kos RM50,000. Dua tahun kemudian, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jamal dan sekali lagi mengarahkannya membayar kos guaman sebanyak RM50,000.
Pada 29 Mac 2023, panel Mahkamah Rayuan yang berbeza membenarkan Jamal menangguhkan pembayaran ganti rugi RM300,000 tersebut, namun dia dikehendaki mendepositkan jumlah itu kepada firma guaman Kok sementara menunggu pelupusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Akhirnya, pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk kebenaran merayu, dengan memutuskan bahawa permohonan itu tidak memenuhi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Jamal kemudiannya memberitahu media bahawa dia merancang untuk melelong beberapa pasang selipar dan kasut miliknya untuk membayar Kok. Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya pada 28 Januari lalu, selepas pihak polis dan pegawai mahkamah masuk ke kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur.
