Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Pegangan saham Azam telah diisytihar
Diterbitkan:  Feb 10, 2026 9:03 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pegangan saham Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam satu kenyataan, SPRM menafikan laporan Bloomberg mengenai pemilikan saham Azam dan menyifatkannya mengandungi “kenyataan mengelirukan serta tuduhan tidak berasas”.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan yang dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset, termasuk saham.

“Sebarang gambaran yang mencadangkan kegagalan mengisytiharkan aset adalah tidak benar dari segi fakta dan mewujudkan tanggapan mengelirukan terhadap kerangka integriti dan tadbir urus yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam, sekali gus memberi gambaran tidak adil dan memudaratkan terhadap suruhanjaya sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Pertimbang tindakan undang-undang

Sementara itu, Azam (gambar atas) dilaporkan memberitahu New Straits Times bahawa dia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap laporan yang mempersoalkan transaksi tersebut, sambil menyifatkannya sebagai bersifat jahat, mengelirukan dan berunsur fitnah.

Azam berkata dia membeli saham tersebut tahun lalu dan menjualnya pada tahun yang sama, serta menegaskan bahawa semuanya “telus” kerana telah diisytiharkan melalui HRMIS.

Laporan Bloomberg hari ini menyatakan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad, iaitu kira-kira 1.7 peratus pegangan.

Malaysiakini mengesahkan pemilikan itu selepas meneliti rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), berdasarkan dokumen syarikat yang didaftarkan pada 26 Disember tahun lalu.

Harga saham tersebut berubah-ubah antara RM0.015 sesaham hingga RM0.065 sesaham sepanjang tahun lalu, menjadikan nilai pegangan saham Azam dianggarkan antara RM265,500 hingga RM1,150,500 pada ketika itu.

Jumlah ini jauh melebihi had yang ditetapkan ke atas penjawat awam, iaitu mereka tidak dibenarkan membeli saham bernilai lebih RM100,000 dalam satu-satu syarikat.

Sebelum ini, pada akhir tahun 2021, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu turut menjadi perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad, sebelum ini dikenali sebagai KBES Berhad, pada 30 April 2015, yang bernilai sekitar RM772,000 pada ketika itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global berkurangan kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016, dengan nilai sekitar RM340,000 pada waktu tersebut.

Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016. Peraturan had pembelian saham sebanyak RM100,000 bagi penjawat awam telah pun berkuat kuasa pada ketika itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS