Ahli politik Australia yang juga anak kepada bekas peguam negara Tommy Thomas menuduh Ketua Menteri New South Wales (NSW) Chris Minns memudahkan berlakunya keganasan ketika protes membantah lawatan Presiden Israel Isaac Herzog.
Hannah Thomas, bekas calon Australian Greens bagi kerusi Grayndler berkata berlaku “keganasan besar” di Gadigal, Sydney, tempat para penunjuk perasaan berkumpul semalam.
“Antara yang kami saksikan: polis menarik orang Islam ketika mereka sedang bersolat di atas tanah, menumbuk orang yang mengangkat tangan tanda menyerah diri, menolak dan menendang individu yang sedang memberi pertolongan cemas, menunggang kuda merempuh orang ramai, menyerang pemerhati undang-undang, menolak warga emas hingga jatuh dan mengheret mereka, serta penahanan ganas terhadap masyarakat Orang Asal,” tulis Hannah pada hantaran di Instagram.
“Minns bertanggungjawab atas setiap kecederaan, atas setiap tindakan keganasan hari ini.

“Adegan mengerikan hari ini adalah akibat yang boleh dijangka daripada keengganannya membenarkan rakyat negeri ini berarak di jalan raya kami sendiri,” katanya.
Dia turut menggesa Minns meletakkan jawatan susulan insiden tersebut.
Kerajaan Australia menjemput Herzog melawat negara itu selepas serangan 14 Dis di Bondi Beach, sebagai usaha membantu komuniti Yahudi pulih daripada kejadian tersebut. Laporan itu menyatakan jemputan berkenaan dibuat walaupun mendapat bantahan daripada kumpulan pro-Palestin.
Sementara itu, Hannah menyifatkan situasi seolah-olah “perang sedang dilancarkan” oleh polis NSW terhadap para penunjuk perasaan.
Dia juga menawarkan nasihat perundangan kepada mereka yang mempertimbangkan untuk menyaman polis NSW.
BBC melaporkan kerajaan NSW memperkenalkan sekatan terhadap protes awam selepas kejadian tembakan besar-besaran pada 14 Disember, selain melaksanakan kuasa tambahan “acara besar” beberapa hari sebelum protes tersebut — sekali gus memberi polis kuasa menutup sebahagian kawasan bandar.
Menurut laporan itu, peraturan membenarkan orang ramai berkumpul tetapi melarang mereka berarak.
Para penunjuk perasaan juga gagal dalam tindakan mahkamah untuk mencabar kuasa polis yang mengehadkan hak mereka untuk berdemonstrasi semasa lawatan Herzog.
Dalam pada itu, Minns dilaporkan mempertahankan tindakan polis terhadap peserta perhimpunan, berkata pihak berkuasa berada dalam “situasi yang sukar malam tadi”.
