PARLIMEN l Kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada dua pertiga kuota 300 liter sebulan di bawah subsidi petrol RON95 Budi Madani (Budi95), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Berucap di Dewan Rakyat, Anwar yang juga menteri kewangan mendedahkan purata penggunaan Budi95 ialah sekitar 100 liter sebulan sejak ia dilaksanakan pada September lalu.
“Had 300 liter sebulan untuk RON95 bersubsidi juga dilihat mencukupi untuk kegunaan biasa berdasarkan data penggunaan yang menunjukkan purata kegunaan sekitar 100 liter sebulan.
“90 peratus pengguna tidak menggunapun lebih daripada 200 liter sebulan.

“Kegunaan sekarang ini sekitar purata 100 liter walaupun ia pergi (mencecah) sampai 300.
“Dan 90 peratus rakyat guna tidak lebih daripada 200 liter sebulan. Jadi kadang-kadang dalam perbahasan (dahulu) mengatakan tak cukup, sebenarnya terbukti dari segi pelaksanaan kita tidak begitu.
“Ini berdasarkan pelaksanaan,” katanya semasa sesi soal jawab lisan pagi tadi.
Anwar menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin mengetahui jumlah penjimatan yang berjaya dicapai kerajaan melalui pelaksanaan program subsidi bersasar bahan api itu.
Perdana menteri berkata, Budi95 mencatat purata 3.1 juta pengguna sehari.

Walaupun demikian, katanya, sistem subsidi yang hanya membenarkan pemegang MyKad yang mempunyai lesen memandu membeli RON95 itu beroperasi dengan lancar.
“Setakat ini, kita menjangka subsidi bersasar RON95 akan menjimatkan negara sehingga RM2.5 bilion tahun ini,” katanya sambil memuji penjawat awam dan penguat kuasa yang memainkan peranan penting dalam membendung ketirisan subsidi kerajaan.
Anwar turut memuji semangat patriotisme rakyat Malaysia yang aktif mendedahkan penyalahgunaan bahan api bersubsidi oleh warga asing atau kenderaan berdaftar luar negara.
Pada peringkat awal pelaksanaan Budi95, Putrajaya berdepan kritikan daripada beberapa pihak yang mendakwa kuota 300 liter sebulan tidak mencukupi untuk kegunaan bulanan.
