Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam Baki miliki saham Awanbiru Technology bernilai lebih RM1 juta

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memiliki saham dalam sebuah lagi syarikat yang sekali lagi berkemungkinan tidak mematuhi peraturan had pemilikan ekuiti oleh penjawat awam.

Semakan dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati bahawa setakat 13 Jan tahun ini, Azam memiliki lebih sedikit daripada 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, atau pegangan sebanyak 1.08 peratus.

Pada 13 Jan, saham tersebut dinilai pada RM0.305 seunit, bermakna pegangan Azam bernilai hampir RM1.38 juta pada ketika itu.

Tarikh sebenar Azam membeli saham tersebut tidak diketahui, namun harga terendah saham Awanbiru Technology Berhad diniagakan dalam tempoh lima tahun lalu adalah RM0.175 sesaham pada 12 Julai 2023.

Pada harga tersebut, 4.52 juta saham bernilai lebih sedikit daripada RM790,000.

Walaupun tidak menyalahi undang-undang bagi penjawat awam untuk membeli saham, pekeliling tatatertib perkhidmatan awam menetapkan bahawa mereka tidak dibenarkan membeli saham bernilai lebih daripada RM100,000 dalam sesebuah syarikat.

Malaysiakini telah menghubungi ketua pesuruhjaya SPRM itu untuk mendapatkan ulasan.

Semalam, Azam dilaporkan memiliki 11.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partners Berhad.

Azam berkata dia telah membeli dan melupuskan saham Velocity Capital Partners pada waktu yang tidak dinyatakan tahun lalu. Bagaimanapun, rekod SSM masih menyenaraikan Azam sebagai pemegang saham dalam syarikat itu setakat 26 Dis 2025.

Walaupun tidak diketahui harga pembelian saham tersebut, harga terendah saham Velocity Capital Partners diniagakan tahun lepas pada RM0.015 seunit, yang bermaksud pegangan Azam sekurang-kurangnya bernilai RM265,500.

SPRM dan Azam menafikan sebarang salah laku dan menyatakan bahawa dia telah mengisytiharkan pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Partners kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun, isu pematuhan terhadap had pembelian RM100,000 tersebut tidak dijelaskan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mendapatkan ulasan berhubung kes Azam ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS