Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjelaskan secara terbuka isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Berhad sebelum ini.
Dia berkata jabatan itu mesti menyatakan sama ada Azam melanggar Pekeliling Pengurusan Tatakelakuan dan Tatatertib Pegawai Awam 2024 kerana membeli jumlah saham yang berlebihan dalam syarikat berkenaan.
“Prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan mesti ditegakkan bagi pegawai yang menerajui jawatan kritikal dan penting seperti ketua pesuruhjaya SPRM,” kata anggota parlimen Bagan dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Azam berkata dia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan laporan yang menyatakan dia memegang 17.7 million saham dalam syarikat itu, atau kira-kira 1.7 peratus kepentingan.
Dia berkata dia membeli saham berkenaan tahun lalu dan melupuskannya pada tahun yang sama.
Berdasarkan harga saham tahun lalu (RM0.015 hingga RM0.065), pegangan tersebut bernilai antara RM265,500 dan RM1,150,500.
Bawah Peraturan 17(b) pekeliling 2024, penjawat awam tidak boleh membeli lebih daripada RM100,000 nilai saham dalam mana-mana satu syarikat - sekali gus menjadikan pegangan Azam jauh melebihi had tersebut.
Walaupun begitu, Azam dilaporkan memberitahu New Straits Times bahawa transaksi berkenaan mengikut peraturan dan diisytiharkan dengan betul kepada JPA, manakala laporan yang mempersoalkan transaksi itu bersifat jahat dan memfitnah.
Lim berkata jika Azam tidak melanggar peraturan, maka Azam berhak untuk menuntut keadilan melalui tindakan undang-undang.
“Bagaimanapun jika Azam melanggar pekeliling ini maka kerajaan mesti menjelaskan apakah tindakan tatatertib yang diambil dan sama ada inkuiri khas perlu dijalankan serta sama ada wajar untuk dia kekal dalam jawatannya sekarang,” katanya.
Terkini timbul dakwaan bahawa Azam memegang 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, yang bernilai lebih RM790,000 pada nilai terendahnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Malaysiakini telah menghubungi Azam untuk mendapatkan ulasannya.
