Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sany saran masukkan kisah tokoh komunis, reformasi dalam modul sejarah

PARLIMEN l Seorang ahli parlimen penyokong kerajaan hari ini mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) memasukkan tokoh komunis dan sejarah perjuangan era reformasi pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam modul pembelajaran sejarah di sekolah menengah.

Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berkata, generasi muda perlu didedahkan dengan maklumat mengenai politik moden tanah air, selain daripada mempelajari sejarah kemerdekaan sedia ada.

“Adakah KPM bercadang merangka satu modul baru?

“Ya, kalau kita menyebutkan soal berkaitan dengan kemerdekaan, biasanya kita menyebutkan soal berkaitan dengan tokoh-tokoh, contohnya Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak (Hussein) dan sebagainya.

“Tetapi tak bolehkah maksudnya dalam masa kita membicarakan soal berkaitan dengan tokoh-tokoh itu, ada juga tokoh-tokoh lain pada masa itu yang juga menuntut kemerdekaan, contohnya macam Burhanuddin Helmi, Ahmad Bustamam, contohnya Ishak Haji Muhammad.

“Kalau kita pergi lebih jauh lagi, mungkin yang agak kontroversi, contohnya Shamsiah Fakeh, contohnya Abdullah CD, contohnya Rashid Maidin dan dalam politik moden pada hari ini, saya rasa ya, lah kita mengkaji soal berkaitan dengan peristiwa 13 Mei dan sebagainya,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sany mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, mengenai rancangan Putrajaya untuk mendidik pelajar sekolah dengan pengetahuan politik.

Wong Kah Woh

Menurut wakil rakyat Amanah itu, sekolah harus mengajar politik moden supaya generasi muda memahami bagaimana negara dan sistemnya terbentuk sehingga ke hari ini.

“Tetapi politik moden kita pada hari ini, perlu juga didedahkan kepada generasi baru soal berkaitan dengan pemecatan Anwar Ibrahim. Munculnya reformasi tahun 1998, itu di antara contoh.

“Kemudian Himpunan Bersih yang menjadikan satu modul bagaimana pilihan raya dalam negara kita ini berlaku dalam keadaan adil dan juga bersih.

“Begitu juga Langkah Sheraton, Langkah Sheraton ke Langkah Setan? Kemudian contohnya macam Himpunan anti-ISA, dulu kita ada satu akta yang kita kira sangat zalim bila diadakan HimpunanISA inilah menyebabkan hari ini Akta Keselamatan Dalam Negeri itu sudah dimansuh, sudah dihapuskan dalam negara kita Malaysia yang kita cintai ini,” kata Sany.

Menjawab cadangan itu, Wong berkata walaupun semua yang disebutkan Sany adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia, namun kementerian mempunyai proses tertentu dalam membangun dan menyemak semula kurikulum subjek Sejarah.

Ini termasuk melibatkan pakar sejarah, ahli akademik, dan institusi seperti Arkib Negara.

“Pada masa yang sama, kesemua perkara seperti sesi libat urus dengan guru, badan profesional dan juga masyarakat turut akan dilibatkan dalam memastikan kandungan ia akan kekal relevan dan juga tepat.

“Jadi berkenaan dengan cadangan daripada Yang Berhormat Hulu Langat, pihak kami mengambil maklum dan kesemua perkara berkenaan dengan pelajaran kurikulum sesuatu mata pelajaran itu kita akan mengikuti proses yang sewajarnya,” katanya.

Burhanuddin, Ahmad Boestamam, dan Ishak merupakan antara pemimpin gerakan nasionalis Melayu sayap kiri yang terkenal pada era sebelum merdeka.

Shamsiah, Abdullah, dan Rashid pula merupakan nasionalis kiri, namun dianggap lebih kontroversi kerana penglibatan mereka dalam Parti Komunis Malaya (PKM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS