Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baik untuk ekonomi, tapi langkah kiri bagi Orang Asli Mah Meri

Komuniti Orang Asli suku Mah Meri di Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, menzahirkan kekecewaan mendalam terhadap kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan berhubung kelulusan projek peluasan pelabuhan yang didakwa meminggirkan suara mereka.

Projek strategik tersebut, yang dianggap kritikal oleh Putrajaya, kini mencetuskan kebimbangan besar terhadap kelangsungan tanah adat dan sumber pendapatan penduduk asal di kawasan berkenaan.

Lanuza Layon

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Sungai Kurau, Lanuza Layon, 52, mendakwa tiada rundingan telus dilakukan dengan komuniti tempatan sebelum pengumuman kelulusan dibuat.

"Kami amat kecewa apabila mendapat tahu menteri pengangkutan mengatakan projek itu telah diluluskan dan MB (Menteri Besar) Selangor kata ada persetujuan.

"Saya tidak tahu bila masanya mereka berjumpa dengan kami, dan saya pun tidak tahu bila mereka berbincang. Itu yang kami ingin nyatakan, kami teramat kecewa," katanya kepada Malaysiakini.

Kenyataan Lanuza merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memberi gambaran bahawa projek tersebut telah mencapai kesepakatan untuk digerakkan.

Jaminan dan realiti

Pada 12 Disember tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey tidak boleh ditangguhkan lagi demi memperkukuh sektor logistik negara.

Meskipun Anwar memberi jaminan bahawa kepentingan Orang Asli dan kelestarian ekosistem akan menjadi keutamaan, masyarakat setempat mendakwa realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.

Lanuza, yang juga seorang nelayan pantai, menjelaskan bahawa kawasan laut di hadapan kampung mereka merupakan satu-satunya "periuk nasi" penduduk.

Menurutnya, kehadiran kapal-kapal besar yang mula berlabuh di kawasan tersebut sudah mula mengganggu aktiviti harian nelayan, termasuk menyukarkan urusan memasang pukat.

"Itulah satu-satunya punca carian kami. Kalau mahu tutup (akses laut), macam mana kami mahu hidup?

"Apabila orang kata kehidupan Orang Asli di Pulau Carey terjamin, di manakah jaminan itu? Saya pun tidak tahu," katanya lagi.

Melenyapkan identiti budaya Mah Meri

Sementara itu, Amirudin Shari ketika diminta mengulas mengenai bantahan tersebut berkata, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat untuk penelitian lanjut.

Memetik laporan media, dia menyebut kerajaan negeri akan meneliti dakwaan penduduk bahawa peluasan Pelabuhan Westports itu mengancam kelangsungan hidup mereka.

"Saya akan rujuk dalam mesyuarat MMKN sebentar lagi," katanya ringkas hari ini.

Kampung Sungai Kurau yang dihuni kira-kira 238 penduduk itu telah diwartakan sejak tahun 1921. Selain ancaman terhadap ekonomi, penduduk bimbang pembangunan tersebut akan melenyapkan identiti budaya mereka.

Suku Mah Meri terkenal dengan seni ukiran kayu yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), namun khazanah itu kini terancam dek arus pemodenan yang didakwa tidak inklusif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS