Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
21 penduduk Orang Asli Kg Jemeri dibebaskan dengan jaminan polis

Kesemua 21 penduduk Orang Asli dari Kampung Jemeri, Rompin yang ditahan polis atas dakwaan menceroboh tanah milik Sultan Pahang kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Rompin Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, 17 penduduk wanita Orang Asli yang ditahan reman selama sehari itu dibebaskan sekitar jam 8 malam tadi.

Manakala baki empat penduduk lelaki Orang Asli dilepaskan sekitar jam 3.30 petang hari ini, katanya.

“17 orang wanita kita dah jamin dan bebaskan semalam, manakala baki lagi empat orang kita akan bagi jamin hari ini juga sekitar 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, tindakan selanjutnya berhubung kes itu bergantung kepada arahan pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Tindakan selanjutnya, ini kita akan tengok dan tunggu apa DPP macam mana,” katanya ringkas.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan penahanan penduduk orang Asli itu kelmarin dilakukan kerana didakwa menceroboh tanah milik Sultan Pahang.

Menurut Sharif Shai, perkara itu dimaklumkan oleh wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan kawasan ladang di tanah berkenaan.

"Wakil syarikat itu mendakwa sekumpulan Orang Asli menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong kelapa sawit di kawasan ladang milik Sultan Pahang seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran.

"Geran tanah tertera nama Tuanku Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah)," katanya dalam kenyataan, semalam.

Nafi ceroboh tanah

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Orang Asli Jakun, Pahang, Yap Ah Lai a/l Yap Kim Bok menyifatkan tindakan penahanan tersebut sebagai satu bentuk penindasan, lebih-lebih lagi apabila timbul dakwaan kononnya mereka menceroboh tanah milik pihak tertentu.

“Saya mewakili Jakun rasa ini satu penindasan terhadap Orang Asli, lebih-lebih lagi apabila ada kenyataan pihak syarikat atau pihak berkepentingan bahawa kami ini menceroboh tanah mereka,” katanya.

Yap menegaskan komuniti Orang Asli tidak pernah menceroboh mana-mana kawasan yang bukan hak milik mereka, sebaliknya tanah yang dipertikaikan adalah warisan nenek moyang mereka.

“Saya nak perbetulkan kenyataan itu, Orang Asli tidak pernah menceroboh mana-mana tempat atau kawasan yang bukan hak milik kami.

“Tanah itulah tempat kami yang telah diwarisi oleh nenek moyang kami. Jadi kami tidak akui kami menceroboh,” katanya.

Mengulas lanjut, dia juga berkata komuniti tersebut tidak berpuas hati dengan penahanan melibatkan individu yang didakwa mempunyai masalah kesihatan dan kini berdepan tuduhan sebagai penceroboh.

“Kami sangat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Jadi, kami harap pihak kerajaan dapat meneliti kesemua permasalahan yang berlaku di kampung Orang Asli dan jangan membuat tuduhan bahawa kami menceroboh mana-mana kawasan atau tanah syarikat,” katanya.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan penduduk suku Orang Asli Jakun itu ditahan selepas bertindak merobohkan palang yang dibina di laluan masuk ke kawasan yang didakwa sebagai tanah wilayah adat kampung berkenaan.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS