Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah jawab Umno Johor: Pihak gila kuasa tak sedia runding kerusi
Diterbitkan:  Feb 11, 2026 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Amanah menolak keras dakwaan parti itu gila kuasa apabila meminta BN bersikap terbuka dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, parti itu sebaliknya berpegang kepada prinsip muafakat dalam bekerjasama dan bergabung bersama parti komponennya.

Menurutnya, bukti paling jelas apabila Amanah menyerahkan kerusi DUN dan Parlimen kepada Muda bagi membolehkan kerjasama parti itu dengan PH dalam pilihan raya yang lalu.

“Jika Amanah sebuah parti yang gila kuasa, itu tidak akan dilakukan.

“Yang gila kuasa adalah yang tidak sanggup berunding dan berbincang demi menjamin kemantapan gabungan dan itu bukanlah pihak kami.

“Amanah menghayati konsep Kerajaan Perpaduan, di mana bergabung dan berkongsi kuasa diutamakan demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid berkata demikian mengulas dakwaan Setiausaha Umno Johor, Abdul Halim Suleiman bahawa Amanah “gila kuasa” apabila meminta BN bersikap lebih terbuka dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor.

Menurut Abdul Halim, tindakan Amanah yang terus menerus membangkitkan perkara tersebut jelas memperlihatkan fokus dan agenda sebenar mereka bukan khidmat kepada rakyat, tetapi obsesi terhadap kuasa dan kerusi.

“Sejak tahun lalu hingga ke hari ini, isu yang sama terus diulang. Skripnya tidak berubah, tuntut kerusi secara terbuka, tekan rakan dalam Kerajaan Perpaduan melalui media, kemudian disusuli ugutan pertandingan tiga penjuru.

“Politik sempit ini mencerminkan sikap gila kuasa yang akhirnya merugikan rakyat Johor,” ujar Abdul Halim yang juga Ketua Umno Bahagian Tebrau.

Mengulas lanjut, Khalid menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan agar mengutamakan kesepakatan dan memperkukuh kerjasama melalui rundingan serta perbincangan.

“Mementingkan parti sendiri mengaburkan pandangan dan pertimbangan dan ia bukan cara kami. Kongsi kuasa dalam bergabung adalah pilihan yang jelas lebih baik,” katanya.

Dia turut menyifatkan pendekatan tersebut sebagai selari dengan budaya politik Melayu yang mengutamakan perpaduan dan muafakat, sambil mengkritik apa yang disifatkannya sebagai budaya politik khianat dan fitnah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS