Kepercayaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Azam Baki tidak terjejas dengan skandal pegangan saham yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Ditanya mengenai desakan supaya dia dipecat, Anwar menjawabnya dengan mempertahankan Azam.
“Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa?...Baca penjelasan dia.
“Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you maki pasal apa? Salah. Dengar penjelasan masing-masing,” katanya ringkas kepada pemberita semalam.
Anwar berkata demikian ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Petaling Jaya, Selangor.
Jutaan saham
Terdahulu, Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan melaporkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Azam pernah memegang sejumlah besar saham dalam dua syarikat tersenarai awam.
Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Azam berkata telah mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan telah melupuskan portfolio tersebut pada Julai tahun lalu, walaupun tidak menyatakan tarikhnya secara khusus.
Antara 1 Jun dan 31 Julai tahun lalu, saham Velocity Capital Partner didagangkan pada harga serendah RM0.06 hingga RM0.075 sesaham.
Jika Azam melupuskan sahamnya dalam tempoh itu, nilai saham tersebut boleh mencecah antara RM1.06 juta hingga RM1.327 juta.

Bagi Awanbiru Technology pula, harga saham dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2025 berada antara RM0.275 hingga RM0.305 seunit.
Jika Azam melupuskan sahamnya dalam tempoh ini, nilainya boleh mencecah antara RM1.24 juta hingga RM1.378 juta.
Had RM100,000
Nilai pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menimbulkan persoalan kemungkinan dia melanggar peraturan perkhidmatan awam yang mengehadkan pembelian saham tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.
Azam semalam menjelaskan bahawa pegangan sahamnya tidak membabitkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar untuk mendapatkan komen mengenai perkara ini.
Pendedahan tentang pegangan saham ini mencetuskan gesaan daripada pembangkang serta penyokong kerajaan sendiri agar Azam meletakkan jawatan, digantung, dipecat atau disiasat.
Ini merupakan kali kedua dia menjadi tumpuan berhubung portfolio dagangan sahamnya.
Pada akhir 2021, Azam pernah disiasat berkaitan pegangan saham melebihi had RM100,000.
Pada Januari 2022, Azam berkata dia memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bahawa saham itu dibeli oleh adiknya yang menggunakan namanya, dan dia yakin dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pendedahan itu membawa kepada siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya mendapati tiada bukti berlakunya dagangan proksi kerana Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.
Pada 20 Jan 2022, Anwar, ketika itu ketua pembangkang, berjanji akan membawa perkara itu kepada perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.
Ini selepas Pemuda PKR menyerahkan memorandum kepadanya yang antara lain menggesa ketua SPRM mengisytiharkan aset mereka.
Namun, sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, Anwar menjadi penyokong kuat Azam malah menegaskan ketua SPRM itu satu-satunya individu yang berani mengambil tindakan terhadap pemimpin rasuah.
Anwar juga telah melanjutkan kontrak Azam sebagai ketua SPRM sebanyak tiga kali selepas usia persaraan.
