Pada usia 72 tahun, Rageswery Kanniah menyimpan hasrat terakhir sebelum menutup mata iaitu bertemu ibu bapa kandung atau adik-beradiknya yang lain.
Impian itu diharapkannya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba.
Rageswery, yang kini menetap di Klang, Selangor dilahirkan pada tahun 1954 di Hospital Besar Seremban, Negeri Sembilan, dalam sebuah keluarga Cina berketurunan Hakka, dan pada asalnya diberi nama Wan Chow Lan.
Kisah bermula apabila dia diserahkan kepada sepasang suami isteri berketurunan India, A Kanniah Asirpatham dan S Letchumy Sannasi sujurus selepas dilahirkan.
Pasangan itu membesarkan Rageswery dengan penuh kasih sayang sehinggalah kedua-duanya meninggal dunia pada usia 87 tahun dan 59 tahun.

Rageswery mempunyai seorang adik perempuan, Manonmani A Kanniah, yang kini berusia 57 tahun.
Dia juga pernah mempunyai seorang adik lelaki, Logarajan A Kanniah namun meninggal dunia pada tahun 1984 ketika berusia 24 tahun.
Kini hanya Manonmani merupakan ahli keluarga terdekat Rageswey.
Sementara itu, Manonmani berkata dia turut berharap kakak angkatnya itu dapat bertemu semula keluarga kandung.
“Saya juga akan membantu dan menyokong kakak angkat saya dalam misi ini, sebab saya juga selalu tertanya-tanya tentang keluarga asal kakak saya,” kata Manonmani.
Mahu tahu kebenaran
Rageswery berkata persoalan tentang identiti dirinya mula timbul ketika dia berusia sekitar 15 tahun.

Ketika itu rakan-rakan sekolah menegur rupa parasnya tidak menyerupai orang India, sebaliknya lebih kelihatan seperti orang Cina.
Ada juga yang mengejek dengan mengatakan ibu bapa kandungnya tidak mahu menerima Regeswery.
“Ia benar-benar menyebabkan saya sangat sakit hati, marah dan kecewa (ketika itu),” luahnya kepada Malaysiakini.
Ibu kepada tiga anak itu mengakui tidak mengetahui sebab sebenar dirinya diserahkan kepada keluarga angkatnya selepas dilahirkan.
Namun menurut Manonmani, ibu kandung Rageswery pernah datang untuk menuntutnya semula, tetapi diberitahu oleh keluarga angkat bahawa Rageswery telah dibawa jauh ke tempat lain.

Sejak itu, tiada sebarang maklumat mengenai keluarga kandungnya.
Untuk tempoh yang lama, Rageswery cuba mengabaikan persoalan mengenai asal-usul dirinya.
“Pada mulanya, saya tidak mahu tahu apa-apa tentang mereka, tetapi fikiran saya sentiasa dihantui persoalan tentang sebab sebenar,” katanya.
Akhirnya, dia memilih untuk menerima takdir dan meneruskan kehidupan seperti yang telah ditentukan.
Menurut Rageswery, dia pernah cuba menjejaki keluarga kandungnya beberapa tahun lalu.
Bersama adiknya, Rageswery mengunjungi Jabatan Perkhidmatan Awam dan Biro Aduan MCA untuk menyerahkan maklumat berkaitan.
Namun usaha itu terhenti apabila ibu mentuanya dimasukkan ke hospital akibat kanser dan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Tidak lama selepas itu, suaminya pula disahkan menghidap kanser dan turut meninggal dunia.
“Itu tempoh yang sangat menekan, tetapi anak-anak saya menjadi kekuatan yang membantu saya bangkit semula,” kata Rageswery.

Kini, ketika usia semakin senja, hasrat untuk bertemu keluarga kandung semakin kuat.
“Saya sentiasa ingin tahu rupa ibu bapa dan adik-beradik kandung saya.
“Sama ada mereka menerima saya atau tidak, tujuan utama saya hanyalah untuk melihat ibu saya.
“Saya hanya inginkan satu pelukan hangat, atau sekurang-kurangnya berjabat tangan, sebagai tanda bahawa saya juga sebahagian daripada keluarga mereka,” katanya.
Menurut Rageswery, anak-anaknya juga memberikan sokongan penuh terhadap usaha itu dan mereka juga mahu mengetahui asal usul mereka.
Menurut Rageswery, dia hanya ingin mengetahui kebenaran dan memperoleh ketenangan fikiran sebelum menamatkan sisa-sisa hidup yang tinggal.
Rageswery turut merayu orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat mengenai keluarga kandungnya supaya tampil membantu.
“Saya amat berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang dapat memberikan maklumat,” katanya.
