Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM sekongkol dengan ahli perniagaan ambil alih syarikat - Bloomberg
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 12:58 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Satu laporan oleh Bloomberg mendakwa SPRM, termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu, bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.

Menurut laporan tersebut, sekumpulan kecil ahli perniagaan menggunakan strategi menunjukkan minat terhadap sebuah syarikat yang disasarkan, kemudian mengadukan syarikat tersebut kepada SPRM.

SPRM kemudian memulakan siasatan terhadap pengasas syarikat berkenaan dan mengenakan tekanan yang membolehkan pihak yang membuat aduan mendapat akses dan kawalan terhadap syarikat tersebut.

Saksi, termasuk orang dalam SPRM, mendakwa segelintir ahli perniagaan atau proksi mereka malah berada di pejabat SPRM ketika pesaing mereka disoal siasat di sana.

“Dalam dua kes, pegawai menerima arahan daripada ahli perniagaan atau individu yang berkaitan dengan mereka ketika menyoal siasat eksekutif, menurut tiga sumber.

“Kerap kali pegawai mencadangkan agar eksekutif menjual saham mereka kepada ahli perniagaan tersebut pada harga yang jauh lebih rendah sebagai pertukaran untuk menghentikan siasatan. Dalam satu kes, individu berkaitan bertemu eksekutif di bilik soal siasat untuk membincangkan penyelesaian,” menurut laporan itu.

Antara kes yang dibangkitkan laporan itu melibatkan usaha MMAG Holdings Berhad untuk mengambil alih MJet Sdn Bhd daripada eksekutif, Gunasekar Mariappan dan Philip Phang.

“Pegawai (SPRM) mengatur satu pertemuan di ibu pejabat SPRM ketika Gunasekar dan Phang dibawa untuk disoal siasat, menurut dua pegawai SPRM yang masih bertugas.

“Mereka dibawa ke bilik soal siasat, di mana seorang pengarah eksekutif MMAG cuba memujuk mereka menjual pegangan mereka pada harga rendah, kata pegawai itu. Eksekutif MJet menolak untuk berunding, dan pertengkaran berlaku,” kata laporan tersebut.

MMAG tidak memberi maklum balas kepada Bloomberg. Malaysiakini juga telah menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan respons.

‘Seksyen D’

Laporan itu turut mendakwa satu unit siasatan dikenali sebagai “Seksyen D” memainkan peranan besar dalam dakwaan pakatan antara pihak berkepentingan swasta dan pegawai SPRM.

Sumber dalaman mendakwa pegawai daripada Seksyen D dituduh menawarkan “perkhidmatan” termasuk taktik ugutan seperti menyerbu pejabat, serta memberi tekanan supaya eksekutif meletakkan jawatan atau menjual saham mereka.

Azam Baki

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki turut dituduh menyokong unit tersebut dan tahu tentang kegiatan mereka.

Menurut laporan Bloomberg itu, SPRM telah menyangkal sebarang dakwaan yang siasatan mereka dipengaruhi kepentingan swasta.

“Semua siasatan dijalankan mengikut undang-undang, berpandukan bukti, dan tertakluk kepada budi bicara pendakwaan serta semakan kehakiman,” kata jurucakap SPRM.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan dalam laporan ini.

Malaysiakini turut menghubungi Azam untuk mendapatkan maklum balasnya.

Dakwaan-dakwaan lain 

Laporan hari ini susulan dua pendedahan berasingan oleh Bloomberg dan Malaysiakini mengenai pegangan saham Azam yang berkemungkinan melanggar peraturan perkhidmatan awam mengenai had pemilikan saham dalam satu syarikat.

Azam menafikan sebarang salah laku, dan berkata dia telah melupuskan portfolionya, yang turut diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Dia juga mengancam untuk menyaman Bloomberg.

Ini bukan kali pertama Bloomberg membuat dakwaan berat terhadap Azam dan SPRM.

Pada September 2024, satu artikel Bloomberg memetik sumber yang tidak dinamakan mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan suruhanjaya itu menyiasat bekas menteri kewangan Daim Zainudin, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

Artikel itu juga memetik sumber tidak dinamakan yang mendakwa pada Mac tahun yang sama, Azam telah mengarahkan pegawainya supaya tidak menyiasat pembelian saham bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, kononnya atas permintaan Anwar sendiri.

Pejabat Perdana Menteri mahupun SPRM telah menafikan dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS