Salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM menyatakan Azam Baki tidak melakukan sebarang salah laku terkait skandal pegangan saham.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Salim Fateh Din berkata pihaknya memandang serius isu tersebut, namun menegaskan SPRM tidak boleh dinilai berdasarkan laporan yang “tidak lengkap atau tidak seimbang”.
“LPPR ingin menegaskan bahawa integriti SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif yang mengelirukan dan tidak berpandukan fakta.
“Apatah lagi apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang,” kata Salim dalam kenyataan, hari ini.
Salim berkata LPPR mengambil maklum bahawa Azam telah mengisytiharkan pegangan sahamnya melalui saluran rasmi selaras dengan peraturan yang ada, dan maka tidak seharusnya timbul spekulasi atau dakwaan ketidakpatuhan berkenaannya.

Kenyataannya itu bagaimanapun tidak mengulas kebimbangan yang Azam mungkin telah melanggar peraturan yang mengehadkan pembelian saham oleh penjawat awam kepada tidak lebih daripada RM100,000 dalam satu syarikat.
Semalam, Azam menjelaskan pegangan sahamnya tidak membabitkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Azam pernah memegang 17.7 juta unit saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta unit saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Menurut Azam, dia telah mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada JPA dan telah melupuskan portfolionya pada Julai tahun lalu, walaupun tidak menyatakan tarikhnya secara khusus.
Antara 1 Jun dan 31 Julai tahun lalu, saham Velocity Capital Partner didagangkan serendah RM0.06 hingga RM0.075 sesaham.
Jika Azam melupuskan sahamnya dalam tempoh ini, nilainya boleh mencecah antara RM1.06 juta hingga RM1.327 juta.
Bagi Awanbiru Technology pula, harga saham dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2025 berada antara RM0.275 hingga RM0.305 sesaham.
Jika Azam melupuskan sahamnya dalam syarikat ini dalam tempoh tersebut, nilainya boleh mencecah antara RM1.24 juta hingga RM1.378 juta.
Dalam kenyataannya hari ini, Salim turut menegaskan LPPR akan terus memantau rapat profesionalisme dan ketelusan SPRM, dan akan berbuat demikian secara bebas, objektif dan beramanah tanpa pengaruh atau tekanan dari luar.
