Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan Selangor menarik balik rancangan projek penternakan babi baru di Bukit Tagar.
Badan itu menggesa pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih seimbang dan berjangka panjang terhadap transformasi industri penternakan babi.
Walaupun mengakui isu alam sekitar dan kesihatan awam berkaitan penternakan babi perlu ditangani, KLSCAH berkata meninggalkan secara tergesa-gesa konsep kemudahan penternakan babi berpusat dan moden adalah tidak selaras dengan prinsip tadbir urus berasaskan sains dan pembangunan mampan.
Ia juga mengingatkan agar dasar sedia ada tidak dibatalkan secara menyeluruh tanpa penilaian komprehensif.

Isu penternakan babi di Selangor telah lama menjadi polemik. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah baginda tidak memperkenankan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu, dengan alasan pencemaran dan kekangan sumber tanah.
Sultan Selangor menitahkan isu penternakan babi dapat dihenti dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
“Tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang. Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah terhad.
"Ini ditambah pula dengan faktor nilai hartanah tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru, baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.

"Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama, kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan," menurut kenyataan Pejabat Diraja Selangor pada 10 Feb.
Kenyataan tersebut turut merujuk kepada pandangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mencadangkan kerajaan negeri membatalkan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Bulan lalu, kerajaan Selangor memutuskan untuk menangguhkan cadangan projek penternakan babi berpusat di Bukit Tagar susulan bantahan penduduk kawasan berhampiran.
Selepas titah diraja itu, kerajaan negeri mengumumkan tidak lagi mengeluarkan lesen penternakan babi dan akan menutup ladang sedia ada secara berperingkat.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan sejak Januari, kerajaan negeri telah menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memberi tumpuan kepada pembersihan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Penstrukturan berperingkat
KLSCAH berkata pihaknya menghormati titah Sultan Selangor dan memahami hasrat baginda untuk melindungi alam sekitar serta kesejahteraan awam.
“Namun, masalah pencemaran yang dikaitkan dengan sesetengah ladang babi berpunca terutamanya daripada kelemahan pengawalseliaan yang berlarutan, infrastruktur usang dan kekurangan sokongan teknikal serta kewangan, bukan kerana industri penternakan babi itu sendiri tidak dapat diurus.
“Dengan kemajuan teknologi penternakan moden, risiko alam sekitar boleh dikurangkan dengan ketara melalui sistem rawatan sisa yang betul, kitar semula air buangan dan mekanisme bio-penapisan.
“Semua bentuk penternakan ternakan boleh menghasilkan bau dan kesan alam sekitar dan kerajaan tidak seharusnya menyasarkan sektor penternakan babi sahaja atau melaksanakan penutupan menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, KLSCAH mencadangkan penstrukturan semula kawasan penternakan tradisional secara berperingkat bersama pelan peralihan tersusun bagi membantu penternak berpindah ke kemudahan berpusat yang memenuhi piawaian alam sekitar.
“Usaha tersebut perlu disokong dengan bantuan teknikal dan kewangan, dengan penguatkuasaan peraturan diperkukuh menggantikan larangan menyeluruh.
"Pengurangan mendadak kapasiti penternakan babi tempatan tanpa langkah peralihan komprehensif akan menjejaskan sumber pendapatan penternak dan berpotensi meningkatkan harga daging babi, sekali gus menambah beban kewangan terhadap pengguna," kata badan itu lagi.
KLSCAH turut menegaskan penggubalan dasar berkaitan isu ini mesti berpegang pada prinsip keadilan dan semangat perlembagaan serta tidak dipengaruhi sentimen kaum atau agama. Dasar tersebut, katanya, tidak wajar digunakan untuk menafikan hak kesaksamaan di sisi undang-undang yang dijamin kepada rakyat Malaysia berketurunan Cina.
NGO itu menggesa kerajaan mengambil pengalaman antarabangsa dalam pengurusan saintifik penternakan babi berpusat, dengan menyeimbangkan perlindungan alam sekitar, kesihatan awam dan pembangunan industri.
Ia turut menyeru pihak berkuasa merangka hala tuju yang membolehkan sektor penternakan babi bergerak ke arah kemampanan dan pemodenan secara seiring.
