Seorang pelajar maahad tahfiz dan pemandu peribadi didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, hari ini, kerana melakukan kesalahan membuang sampah - puntung rokok - di tempat awam.
Kedua mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Jan lalu ketika berada di kawasan Taman Esplanade Temerloh, antara jam 4.30 petang hingga jam 4.45 petang.
Muhammad Adli Ramadhan Anwar, 26, pelajar tahfiz di maahad tahfiz dekat Setia Alam, Selangor manakala seorang lagi tertuduh, Ahmad Marzuki Shafie, 45, pula bekerja sebagai pemandu peribadi dan tinggal di Ampang, Selangor.
Mereka antara individu terawal di negara ini - dan yang pertama di Pahang - yang didakwa selepas kerajaan menguatkuasakan pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang turut mengenakan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah.
Mengikut Akta 672 Seksyen 77A(1) dan 77A(2), jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 dan membuat suatu perintah masyarakat tidak lebih 12 jam dalam tempoh tidak lebih enam bulan.
Muhammad Adli Ramadhan yang juga orang kurang upaya (pembelajaran) dikenakan denda RM300 selepas mengaku salah, sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 77A (1) Aktaa 672 dibacakan di depan hakim, Jamaludin Mat.
Selain denda, dia juga diperintah menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan.
Bagi Ahmad Marzuki pula, dia dikenakan denda RM600 dan juga diperintah menjalani khidmat masyarakat enam jam dalam masa enam bulan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Idayu Syazwani Mohd Arif dan Muhammad Fadli Syam Ramli.
Kedua-dua tertuduh membayar jumlah denda itu dan difahamkan akan melaksanakan hukuman khidmat masyarakat esok di sekitar Temerloh, Pahang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Khalid Mohamed dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah mengeluarkan 711 notis pemberitahuan kesalahan di tujuh negeri sejak Akta 672 dikuatkuasakan awal tahun ini.
"Daripada jumlah notis dikeluarkan itu, sebanyak 553 membabitkan warganegara dan 158 lagi bukan warganegara," katanya.
