SPRM enggan mengulas laporan terbaru media antarabangsa Bloomberg yang mendakwa pegawai atasannya bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.
Dalam satu kenyataan, SPRM mendakwa tuduhan tidak berasas itu dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasi suruhanjaya itu.
"SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan," katanya.
Suruhanjaya itu juga menafikan dakwaan bahawa siasatannya dipengaruhi oleh kepentingan peribadi.
"Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih," jelas suruhanjaya itu.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa.
"Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM dikuatkuasakan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima badan pemantau bebas,” katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa seabrang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan.
"SPRM menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku adalah digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang," katanya.
Menurut laporan Bloomberg, sekumpulan kecil ahli perniagaan menggunakan strategi menunjukkan minat terhadap sebuah syarikat yang disasarkan, kemudian mengadukan syarikat tersebut kepada SPRM.
SPRM kemudian memulakan siasatan terhadap pengasas syarikat berkenaan dan mengenakan tekanan yang membolehkan pihak yang membuat aduan mendapat akses dan kawalan terhadap syarikat tersebut.
