Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM tiada kuasa arah roboh kuil, kata sekutu PN
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) hari ini menegaskan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan atau "membersihkan" mana-mana rumah ibadat, termasuk kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran.

Presiden MIPP, P Punithan berkata, sebarang arahan sedemikian bukan sahaja melampaui bidang kuasa eksekutif, malah bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Majlis tempatan ditubuhkan dan dikawal selia di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Negeri. Dari segi undang-undang, majlis tempatan mesti mematuhi akta dan arahan negeri, bukannya kehendak politik dari Putrajaya.

"Undang-undang seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 mewajibkan prosedur yang sah termasuk permohonan, notis, dan pendengaran sebelum sebarang tindakan diambil," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Parti sekutu Perikatan Nasional (PN) itu mengulas kenyataan Anwar dua hari lalu memaklumkan dia telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk “membersihkan” kuil yang didirikan tanpa kebenaran.

Terdahulu semalam, sebuah kuil tidak sah di Rawang, Selangor telah dirobohkan oleh sekumpulan individu mengakibatkan empat tangkapan.

Peguam kepada pihak yang didakwa melakukannya berkata mereka bertindak selari dengan arahan Anwar untuk “membersihkan” kuil yang tidak sah.

Punithan turut mengingatkan kerajaan mengenai Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.

"Kuil Hindu tidak seharusnya dipandang sebagai binaan fizikal semata-mata, sebaliknya merupakan institusi agama yang mempunyai perlindungan undang-undang yang sah.

"Merobohkan atau 'membersihkan' kuil hanya melalui arahan eksekutif akan menjejaskan hak beribadat dan autonomi komuniti agama.

"Sebarang sekatan ke atas hak itu mesti melalui proses undang-undang yang adil dan tertakluk kepada keputusan mahkamah, bukan melalui arahan politik mengejut.

“Tiada pemimpin yang mengatasi Perlembagaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS