mk-logo
Berita
Lantik Nurul Izzah saja jadi bos SPRM - Rafizi
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 5:59 PM
Dikemaskini: 10:44 AM
1

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli ‘mencadangkan’ Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah, yang juga anak Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Cadangan itu dikemukakan susulan ulasan Anwar terhadap laporan yang mendakwa bos SPRM sekarang mempunyai saham melebihi had, selain tuduhan badan antirasuah itu bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat.

“Macam itu baik lantik Nurul Izzah je jadi ketua pesuruhjaya SPRM, sebab anak sendiri, confirm tak timbul isu lantik perasuah jaga SPRM,” sindir Rafizi, yang juga penyandang jawatan timbalan presiden PKR sebelum Nurul Izzah.

Rafizi Ramli

Awal pagi tadi, media kewangan antarabangsa Bloomberg melaporkan dakwaan SPRM, termasuk pegawai atasannya, bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.

Menurut laporan itu, sekumpulan kecil ahli perniagaan menggunakan strategi menunjukkan minat terhadap sebuah syarikat yang disasarkan, kemudian mengadukan syarikat tersebut kepada SPRM.

SPRM kemudian memulakan siasatan terhadap pengasas syarikat berkenaan dan mengenakan tekanan yang membolehkan pihak yang membuat aduan mendapat akses dan kawalan terhadap syarikat tersebut.

Antara kes yang dibangkitkan laporan itu melibatkan usaha MMAG Holdings Berhad untuk mengambil alih MJet Sdn Bhd daripada eksekutif, Gunasekar Mariappan dan Philip Phang.

MMAG tidak memberi maklum balas kepada Bloomberg. Malaysiakini juga telah menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan respons.

Portal berita ini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini secara sendiri.

Dalam kenyataan petang ini, SPRM mendakwa tuduhan tidak berasas itu dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasi suruhanjaya itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu Azam didakwa memiliki saham dalam beberapa syarikat yang melebihi had dibenarkan terhadap penjawat awam.

Semakan dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat jam sembilan pagi semalam mendapati bahawa setakat 13 Jan, Azam memiliki lebih sedikit daripada 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad (1.08 peratus).

Pada jam lima petang hari sama, semakan mendapati nama beberapa pemegang saham tidak lagi berada dalam rekod, termasuk Azam.

Azam dilaporkan menjelaskan dia melupuskan semua pegangan saham dalam mana-mana syarikat sejak tahun lepas, sebagai tindak balas kepada laporan media mengenai pegangannya dalam Awanbiru Technology Berhad.

Lari, pusing, konar

Menulis di media sosial, Rafizi berkata dia kecewa dengan jawapan Anwar yang “lari dari menjawab soalan” serta “pusing” dan “konar”. 

Anwar dilaporkan berkata:

“Orang buat kerja nak pecat mengapa, nak suruh ambil perasuah jaga.

“Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia. Dengar penjelasan masing-masing.”

Menyifatkan dia kecewa dengan jawapan “tiada ommmph” itu, Rafizi berkata dia tabik dengan “kemahiran lari dari menjawab soalan” itu.

“Jawapan PMX: dia buat kerja, nak suruh ambil perasuah jaga.

“Dua-dua jawapan ke laut,” katanya.

Azam Baki

Katanya, jika alasan itu diterima, bekas perdana menteri Najib Razak juga tidak perlu masuk penjara.

“Sembilan tahun beliau jadi perdana menteri, ada jasa beliau dan ada hasil kerja beliau,” kata Rafizi.

“Tetapi, bila sudah terbukti ada pecah amanah yang melanggar undang-undang, maka beliau telah dijatuhkan hukuman.

“Tidak ada satu undang-undang pun di dunia ini yang mensyaratkan seseorang yang melakukan jenayah hanya boleh dihukum jika pesalah tidak buat kerja atau tiada kebaikan.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS