Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mafia korporat': Pusat C4 tuntut reformasi segera ke atas SPRM
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 6:36 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa semua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan “mafia korporat” digantung tugas serta-merta, sementara menunggu hasil siasatan bebas dijalankan.

Dalam satu kenyataan hari ini, badan pemantau anti-rasuah itu turut menegaskan bahawa butiran operasi “Seksyen D” SPRM mesti didedahkan secara telus dan tersedia kepada umum sepanjang siasatan dijalankan.

“Pusat C4 berasa amat terkejut dengan pendedahan ini, yang menunjukkan wujudnya rasuah berakar umbi dalam agensi antirasuah utama Malaysia.

“Kami menuntut agar kerajaan segera menyiasat dapatan ini, melaksanakan reformasi terhadap SPRM, serta menggantung sementara siasatan semua pegawai yang terlibat,” kata kumpulan itu.

Gesaan tersebut dibuat selepas pendedahan oleh Bloomberg mendakwa unit pembanterasan rasuah itu terlibat dalam rangkaian yang didakwa sebagai “mafia korporat”, yang dikatakan bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk mengambil alih kawalan syarikat milik tempatan.

C4 Center turut menggesa semua ahli Parlimen bertindak segera dengan membentangkan usul khas bagi membahaskan perkara itu di Parlimen, serta mendesak siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dilaksanakan tanpa berlengah.

Selain langkah akauntabiliti, badan pemantau itu turut menekankan keperluan mendesak untuk reformasi institusi.

“Tuduhan yang serius seperti ini menunjukkan keperluan mendesak untuk reformasi SPRM. Namun kerajaan setakat ini tidak banyak menunjukkan usaha yang meyakinkan bahawa ia benar-benar sedang melaksanakan reformasi,” tambah kumpulan itu.

Menurutnya, di bawah Strategi Anti-Rasuah Nasional 2024–2028 (NACS), kerajaan sekadar berjanji untuk “menilai semula” syarat pelantikan dan penamatan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM — langkah yang disifatkan C4 Center sebagai “bukan komitmen yang jelas untuk perubahan”.

Kumpulan itu turut mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki secara terbuka susulan kontroversi terbaru berkaitan pegangan sahamnya.

Semalam, Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan melaporkan bahawa rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Azam pernah memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat tersenarai awam.

Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata dia telah mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan telah menjual portfolionya menjelang Julai tahun lalu, namun tidak menyatakan tarikh khusus.

Ketika ditanya mengenai gesaan supaya Azam dipecat, Anwar mempersoalkan mengapa dia perlu memecat "orang yang buat kerja” dan menggesa orang ramai supaya “membaca penjelasan Azam”.

Sehubungan itu, C4 Center mendesak kerajaan mempercepatkan reformasi untuk memperkukuh kebebasan institusi SPRM, bermula dengan menarik balik kuasa Perdana Menteri melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Ia juga menuntut peluasan bidang kuasa Ombudsman Malaysia bagi menyiasat aduan salah laku terhadap suruhanjaya antirasuah tersebut.

Sementara itu, SPRM menolak dakwaan berkenaan, menyifatkan laporan Bloomberg sebagai tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan reputasi suruhanjaya.

"SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan," katanya.

Suruhanjaya itu juga menafikan dakwaan bahawa siasatannya dipengaruhi oleh kepentingan peribadi.

"Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih," jelas suruhanjaya itu.

Menurut SPRM, sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS