Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dianggarkan membelanjakan RM1.5 juta untuk membeli saham Velocity Capital Partner Berhad, dan mengalami kerugian melebihi RM400,000 apabila menjual saham tersebut.
Laporan FMT malam tadi menyatakan portal berita itu telah meneliti dokumen yang menunjukkan Azam membeli saham berkenaan pada 15 Jan tahun lalu.
Laporan itu juga memetik sumber sebagai berkata ketua agensi antirasuah itu kerugian lebih RM400,000 apabila menjual saham berkenaan pada satu tarikh yang tidak dinyatakan pada Julai.
Pada 15 Jan 2025, saham Velocity Capital Partner diniagakan antara RM0.075 hingga RM0.085 seunit. Azam memiliki 17.7 juta saham, yang jika dibeli pada harga tertinggi, akan menelan kos sekitar RM1.5 juta.
Sementara itu, harga terendah saham Velocity Capital Partner yang didagangkan pada Julai 2025 ialah RM0.06 sesaham. Jika Azam menjual sahamnya pada harga ini, dia akan memperoleh semula RM1.06 juta.
Jika pengiraan ini tepat, Azam dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM440,000 dalam urus niaga tersebut.
Walaupun urus niaga saham oleh penjawat awam tidak menyalahi undang-undang, Pekeliling Pengurusan Tatakelakuan dan Tatatertib Pegawai Awam 2024 menetapkan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi lima peratus modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.
Namun, Azam menegaskan bahawa pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
Azam menafikan sebarang salah laku, dengan merujuk kepada pengisytiharan yang dibuatnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). JPA kemudiannya memaklumkan bahawa ia sedang mengkaji semula peraturan pegangan saham yang dianggap “lapuk”.
Ketua SPRM itu juga berkata dia mempunyai wang sendiri yang mencukupi untuk aktiviti dagangan sahamnya.
“Sebagai pegawai kerajaan yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 40 tahun dengan Gred Utama Turus II, pencen dan ganjaran saya, bersama gaji dan simpanan, lebih daripada mencukupi untuk menampung pembelian saham saya,” katanya kepada The Vibes pada Rabu.
Selain itu, FMT turut memetik sumber semalam sebagai berkata Azam menerima ganjaran persaraan dan pampasan khas berjumlah RM1.2 juta apabila mencapai umur persaraan pada 2023.
“Jadi beliau mempunyai lebih daripada mencukupi,” kata sumber itu.
