Membangkitkan persamaan dengan saga Star Wars, Rafizi Ramli, yang mendedahkan dia berada dalam radar SPRM berhubung satu laporan mendakwa penyelewengan melibatkan pelaburan RM1.11 bilion, menyamakan keadaan itu dengan episod The Empire Strikes Back.
Dalam hantaran sinis di X malam tadi, bekas menteri ekonomi itu kelihatan tidak goyah, malah mentertawakan dakwaan tersebut dan mencabar pihak berkuasa untuk membuat siasatan secara menyeluruh.
Rafizi mendedahkan laporan yang dibuat semalam oleh gabungan NGO berkaitan dengan perjanjian Malaysia dengan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, untuk membangunkan cip “Made by Malaysia”.
"Kononnya, @arm (Arm Holdings) rasuah saya.
“Koreklah semua. Makan tengah hari atau cenderahati pun aku tak dapat, apatah lagi komisen (kickbacks). Saya masih miskin macam sebelum ini," katanya.
Menurut Rafizi, bukan perkara baru baginya menjadi sasaran pihak berkuasa, yang sering menggunakan agensi kerajaan untuk menekan suara yang tidak sehaluan.
“Dari zaman 1MDB lagi…Saya tahu bila kita tak buat salah apa-apa, insya-Allah kita ada Allah,” katanya lagi.
Pertelingkahan dengan SPRM, Azam
Laporan terhadap Rafizi — yang menjadi duri dalam daging kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim — hadir selepas kritikannya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berhubung skandal saham yang didedahkan oleh Bloomberg dan gesaannya agar Azam digantung tugas.
Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Pandan itu terlibat dalam pertikaian dengan SPRM dan Azam.

Pada November 2022, satu laporan SPRM dibuat terhadapnya berhubung pengisytiharan aset yang menunjukkan dia memiliki 16.7 juta saham dalam Invoke Solution, syarikat yang diasaskannya.
Laporan itu membawa kepada serbuan MACC ke pejabat Invoke.
Dia kemudian memberi amaran kepada Azam bahawa PH akan menjadikannya sebagai sasaran apabila kembali berkuasa.
Namun, selepas dilantik sebagai menteri, Rafizi meremehkan amaran tersebut, menyifatkannya hanya sebagai “soundbite”(kenyataan spontan untuk memberi kesan).
Turut mengundang perhatian apabila akaun X rasmi Anwar mengongsi ciapan yang memaparkan kenyataan MACC mengenai laporan terhadap Rafizi, yang membandingkannya dengan skandal saham Azam.
Walaupun tidak merujuk sebarang nama, ciapan itu berbunyi: “Kalau Azam Baki main saham RM1 juta pun Bloomberg kecoh, takkan RM1 bilion buat bodoh.”
Semalam, Bernama memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya sebagai berkata, suruhanjaya itu akan meneliti keseluruhan laporan tersebut, termasuk sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.
Dia tidak menyebut nama Rafizi secara khusus.
Dia berkata tindakan susulan, termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan, akan dilakukan sebelum siasatan lanjut diteruskan, selaras dengan komitmen suruhanjaya terhadap integriti dan ketelusan.
Laporan itu juga memetik sumber yang berkata pengadu mengesyaki bekas menteri kanan serta pegawai kementerian pada waktu itu terlibat dalam perkara tersebut.
“Selain itu, dikatakan terdapat keraguan mengenai proses rundingan dan kelulusan yang didakwa tidak melibatkan sepenuhnya kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” menurut sumber itu.
