Satu lagi pusingan protes 'Tangkap Azam Baki' akan diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad ini bagi mendesak siasatan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM itu, yang baru-baru ini terpalit dengan satu lagi skandal melibatkan pegangan sahamnya.
Menurut penganjur perhimpunan yang menggelar diri mereka sebagai sekretariat #TangkapAzamBaki, demonstrasi tersebut dirancang pada jam 4 petang di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

"Ini adalah tindak balas kami terhadap skandal pegangan saham yang membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM, yang telah mencetuskan kemarahan orang ramai dan defisit kepercayaan terhadap badan integriti paling penting di negara ini.
"Sekretariat juga menggunakan platform ini untuk menyuarakan kekesalan kami terhadap maklum balas (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim, yang dilihat sebagai tidak menghormati kemarahan rakyat.
"Malah, kemarahan rakyat adalah berasas kerana isu ini melibatkan kepentingan awam. Kami tidak mahu skandal ini berakhir tanpa sebarang akauntabiliti, mahupun dengan siasatan yang hanya akan memalukan negara.
"Kami menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, politik, kaum, atau agama, untuk berdiri bersama dalam gerakan ini," kata sekretariat itu dalam satu jemputan media pagi tadi.

Menurut penganjur, perhimpunan itu bertujuan menuntut peletakan jawatan Azam daripada SPRM dan mendesak pihak berkuasa untuk menangkap, menyiasat, serta mendakwanya.
Protes yang dirancang itu muncul ketika tekanan semakin memuncak terhadap kerajaan untuk menyiasat Azam, yang pada satu ketika pernah memegang jumlah saham yang besar dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Berhad dan Awanbiru Technology Berhad.
Ini merupakan kali kedua demonstrasi #TangkapAzamBaki diadakan selepas tahun 2022, apabila ratusan penunjuk perasaan berarak di Bangsar, Kuala Lumpur bagi menuntut tindakan terhadap pegawai tertinggi suruhanjaya antirasuah itu.
Protes pada 2022 itu berpunca daripada satu lagi kontroversi pemilikan saham yang melibatkan Azam, selepas timbul dakwaan mengenai dirinya memiliki saham dalam dua syarikat pada tahun 2015.

Ia pada mulanya dirancang untuk diadakan di Sogo tetapi penganjur menukar lokasinya ke Bangsar selepas pihak berkuasa menutup semua jalan menghala ke pusat beli-belah tersebut, yang terletak di pusat bandar.
Demonstrasi itu menyaksikan barisan aktivis dan ahli politik pembangkang ditahan oleh pihak polis kemudiannya.
Rafizi turut sertai protes
Sementara itu, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata dia akan turut menyertai protes berkenaan sambil menggesa rakyat Malaysia supaya turun beramai-ramai.
“Saya akan turut serta berhimpun untuk #TangkapAzamBaki. Mohon lebih ramai rakyat Malaysia turun sekali. Kita jumpa nanti,” katanya di X.
Terdahulu hari ini, Rafizi bersama tujuh lagi ahli parlimen PKR menggesa Anwar Ibrahim supaya menggantung dan menyiasat Azam susulan kontroversi terkini membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM itu.
Antara dakwaan terhadap Azam termasuk isu pegangan saham serta dakwaan bahawa dia mengetahui kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang didakwa beroperasi dengan penglibatan satu unit siasatan SPRM dikenali sebagai “Section D”.
Azam dan SPRM menafikan dakwaan tersebut.
Rafizi turut mengingatkan Anwar supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan bekas perdana menteri, Najib Razak berkaitan skandal 1MDB.

Ahli Parlimen PKR yang menyokong gesaan Rafizi agar Anwar mengambil tindakan ialah:
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dia juga akan meminta DAP dan Amanah untuk memberi tekanan kepada Anwar.
