Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lapan ahli parlimen PKR gesa Anwar gantung tugas Azam Baki
1

Lapan anggota parlimen PKR menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Mereka juga mahu Anwar mengarahkan siasatan terhadap dakwaan berkaitan pemilikan saham Azam, serta dakwaan bahawa pimpinan suruhanjaya badan itu bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing korporat dan mengatur pengambilalihan.

Kumpulan wakil rakyat itu, yang diwakili anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli, turut memberi amaran kepada Anwar supaya tidak mengulangi kesilapan pendahulunya Najib Abdul Razak semasa skandal 1MDB.

“Seperti yang pernah dilaungkan oleh Anwar dulu, rakyat adalah hakim negara.

“Oleh kerana reaksi Anwar terhadap laporan pertama Bloomberg ialah cuba menutup, kita tiada pilihan, ini yang kami akan buat.

“Kita berharap perkara ini diberikan perhatian yang serius, terutama oleh Anwar yang juga PM reformasi Malaysia. 

“Tak berbaloi untuk Anwar  dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum atas tuduhan yang melibatkan seorang penjawat awam.”

Anggota parlimen PKR yang menyokong kenyataan tersebut ialah anggota parlimen Ampang Rodziah Ismail, anggota parlimen Subang Wong Chen, anggota parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, anggota parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, anggota parlimen Sungai Siput S Kesavan, anggota parlimen Gopeng Tan Kar Hing dan anggota parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.

Menyifatkan laporan media melibatkan Azam sebagai "mimpi ngeri" bagi rakyat Malaysia yang pernah mengharungi skandal 1MDB, Rafizi berkata dakwaan itu sepatutnya mencetuskan siasatan yang bebas dan telus.

Skandal 1MDB yang didedahkan pada 2015 termasuk oleh Rafizi, menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi dipecat termasuk presiden Bersatu sekarang, Muhyiddin Yassin yang dibuang daripada kabinet kerana mempersoalkan dakwaan berkaitan Najib pada masa itu, selain peguam negara ketika itu Gani Patail dipecat kerana menyiasat skandal itu.

Najib disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas pertuduhan berkaitan 1MDB pada 2025, sebagai tambahan kepada sabitan sedia ada bagi pertuduhan berkaitan SRC International yang sedang dijalaninya sekarang.

Rafizi menyifatkan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengenai sahamnya seperti "pelajar Tingkatan Empat yang melakukan tugasan perakaunan".

Katanya, dakwaan salah guna kuasa terhadap Azam adalah alasan yang cukup besar untuk mencetuskan panik dan mewajarkan keperluan untuk siasatan dilakukan sekarang.

Katanya, kesan laporan Bloomberg adalah besar dan berskala global kerana seluruh dunia membaca Bloomberg, termasuk pelabur.

Susulan pendedahan oleh Bloomberg dan Malaysiakini mengenai pegangan saham Azam, terdapat gesaan meluas agar ketua SPRM itu disiasat, digantung tugas, atau meletak jawatan.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendedahkan bahawa Azam pada satu ketika memegang saham yang besar dalam dua syarikat senarai awam.

Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Ketua SPRM itu berkata dia mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan melupuskan portfolionya menjelang Julai tahun lepas, walaupun dia tidak menyatakan tarikh yang khusus.

Azam sebelum ini berkata dia tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan dan terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan berhubung pemilikan sahamnya.

Dia mengulangi bahawa semua pengisytiharan kewangan dan asetnya dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam yang terpakai dan melalui saluran rasmi yang ditetapkan, seperti yang diperlukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS