Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat dikerat: Perselisihan peribadi, tuntut wang pertunangan motif bunuh

Perselisihan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, di Kota Kinabalu, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata berdasarkan hasil soal siasat awal, suspek seorang lelaki berusia 71 tahun yang ditahan petang semalam,  telah mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Lot berkata suspek berjaya ditahan hasil maklumat daripada saksi yang telah melihat mangsa berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik semula oleh seorang lelaki.

Dia berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu bersama D7 dan D9 telah menahan seorang lelaki berumur 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan pada 8.10 malam.

Syed Lot berkata berikutan penahanan warga emas itu, seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu ditahan di sebuah unit kediaman di taman Seri Maju Apartment, Sepanggar .

“Turut dirampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian dan sebuah kenderaan Nissan X-Trail,” katanya.

Dia berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, anggota badan seorang wanita dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemukan di tempat pembuangan sampah di Indah Permai oleh pekerja pembersihan yang menjalankan kerja kutipan sampah kira-kira 7 pagi.

Pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di lokasi berhampiran.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS