Ahli perniagaan Albert Tei, yang pernah ditahan oleh anggota SPRM yang bersenjata pada November lalu dan berulang kali mengkritik cara agensi itu mengendalikan pendedahannya mengenai skandal perlombongan di Sabah, kini mengambil peluang untuk membalas.
Susulan laporan media mengenai pegangan saham Azam Baki, Tei, yang sebelum ini mendakwa seorang pegawai kanan SPRM mengugutnya supaya tidak meneruskan pendedahan skandal perlombongan melibatkan 15 ahli politik, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi ini.
Ahli perniagaan itu, yang menghabiskan tujuh hari dalam lokap SPRM dan dua kali didakwa berkaitan skandal perlombongan Sabah, mempersoalkan kemampuan kewangan Azam untuk membeli saham tersebut.
Tei mendakwa berdasarkan anggaran gaji dan elaun Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, Azam tidak mampu membeli saham berkenaan.

"Ini tidak masuk akal, tidak munasabah, saya telah kira gaji dia sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, termasuk elaun,” dakwanya.
Dengan menuduh Azam melanggar pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tei mempersoalkan siapa yang memberi kelulusan khas kepada ketua pesuruhjaya itu.
“Siapa yang memberinya pengecualian?” soalnya, sambil menambah sama ada ia diberikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau ketua setiausaha negara.
Peraturan pegangan saham menyatakan bahawa penjawat awam tidak boleh memiliki saham melebihi RM100,000 dalam satu syarikat.
Ketika bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Tei berkata susulan pendedahan baharu itu, pihak berkuasa juga perlu meneliti semula kontroversi pemilikan saham Azam sebelum ini.

Pada 2022, Azam, yang tempoh perkhidmatannya telah dilanjutkan tiga kali oleh Anwar, dituduh memiliki saham dalam dua syarikat pada tahun 2015.
Azam pada mulanya mendakwa adik lelakinya menggunakan akaun dagangan saham miliknya untuk membeli saham pada 2015.
Penjelasan itu mencetuskan persoalan lanjut sama ada ia melanggar undang-undang sekuriti, yang menetapkan bahawa urus niaga hanya boleh dilakukan oleh pemegang akaun atau penama yang diberi kuasa.
Suruhanjaya Sekuriti kemudian menjelaskan bahawa Azam mengekalkan kawalan ke atas akaun tersebut.
Bagi kontroversi terbaharu, Azam didapati memiliki pegangan saham yang besar dalam firma perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Berhad dan Awanbiru Technology Berhad.
Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat perkara itu, manakala Azam menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan bersedia disiasat.
