Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pemandu lori bebas pertuduhan edar 172.6 kg dadah

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas pemandu lori daripada pertuduhan mengedar 172.6 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes terhadap V. Lingkswaran, 29, melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Selepas meneliti keseluruhan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bahawa wujud akses pihak ketiga.

“Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah dan tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Hakim Azhar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah dua tingkat di Prima Pelangi, Segambut, di Kuala Lumpur pada 1.30 petang 17 Sept 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala peguam Sean Dudley mewakili Lingkswaran.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Sean bersyukur dengan keputusan tersebut dan berkata kes itu menarik perhatian umum kerana jumlah dadah dirampas antara terbesar pernah direkodkan.

“Namun keputusan mahkamah menegaskan bahawa setiap pertuduhan mestilah dibuktikan dengan keterangan yang kukuh serta tidak meragukan,” katanya

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS