Seorang pengawal keselamatan di sebuah institusi pengajian tinggi di Melaka didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan pelbagai bahan berkaitan ajaran “The Ahmadi Religion of Peace and Light” yang difatwakan haram.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohammad Shahirman Akbar Ali Khan, 36, dan mengarahkan lelaki itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa memiliki bahan termasuk kain rentang, poster, buku dan dokumen berkaitan ajaran sesat itu di sebuah rumah di Telok Mas, kira-kira 8 pagi semalam.
Dia didakwa di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana menghina agama Islam, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kanan Muhammad Rafaie Zasari yang memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal agar menjadi pengajaran dan kembali ke agama sebenar kerana ia bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jaamah.
Sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan dia hanya mengikut-ikut orang selain tidak sihat kerana mengalami strok, manakala abangnya tidak berkemampuan membayar jika dikenakan denda tinggi.
Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.
- Bernama
