Malaysia Hindu Sangam (MHS), Malaysia Hindudharma Mamandram (MHDM) dan Malaysian Hindu Lawyers Association (MHLA) telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kebangsaan bagi kuil-kuil Hindu untuk menangani isu yang telah berlarutan sekian lama, khususnya berkaitan tanah dan perundangan.
Menurut satu kenyataan media, bekas timbalan menteri perpaduan negara, Saraswathy Kandasmi, akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada:
• Menyelesaikan isu tanah dan status perundangan yang menjejaskan kuil
• Memperkukuh rangka kerja tadbir urus dan pematuhan
• Memudah cara penglibatan dengan pihak berkuasa persekutuan dan negeri
• Memberikan sokongan nasihat serta pengantaraan
• Memelihara warisan keagamaan Hindu untuk generasi akan datang
“Inisiatif ini mencerminkan tanggungjawab dan komitmen proaktif oleh organisasi Hindu utama negara untuk melindungi kepentingan kuil-kuil Hindu serta komuniti secara keseluruhan,” menurut kenyataan bersama itu.
Penubuhan jawatankuasa tersebut berpunca daripada keputusan sebulat suara yang dibuat pada Persidangan Kebangsaan Kuil Hindu yang diadakan pada November 2024, yang dianjurkan bersama oleh Hindu Sangam dan Kementerian Perpaduan Negara Malaysia.
Persidangan itu dihadiri kira-kira 600 wakil kuil Hindu dari seluruh negara bersama pelbagai organisasi Hindu.
12 resolusi diterima
Sebanyak 12 resolusi telah diterima pakai, yang menangani cabaran kritikal dihadapi kuil Hindu, khususnya berkaitan pemilikan tanah, tadbir urus, pengiktirafan perundangan dan kelestarian.
“Kementerian kemudiannya memperhalusi resolusi-resolusi tersebut dan membawanya ke mesyuarat kabinet pada 23 Mac 2025.
“Salah satu resolusi utama ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khusus untuk menangani dan menyelesaikan secara sistematik isu berkaitan tanah yang menjejaskan kuil Hindu.
“Jawatankuasa itu telah ditubuhkan dan berfungsi di bawah kepimpinan Saraswathy semasa beliau memegang jawatan timbalan menteri. Kini ia akan disusun semula sebagai platform bebas dan berstruktur bagi memastikan kesinambungan, penyelarasan serta penglibatan berkesan dengan pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut menyatakan bahawa organisasi berkenaan mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong, kebimbangan Sultan Selangor, serta kenyataan perdana menteri dan menteri perpaduan negara, selain sentimen umum semasa.
“Dalam konteks ini, pembentukan dan pengukuhan jawatankuasa ini adalah tepat pada masanya dan perlu.
“Keputusan untuk memformalkan dan menyusun semula jawatankuasa kebangsaan bagi kuil Hindu telah dibuat semalam dalam satu mesyuarat maya.
“Perbincangan tersebut berakhir dengan mandat yang jelas dan sebulat suara untuk bergerak tanpa berlengah dalam menangani isu-isu kritikal berkaitan kuil,” tambah kenyataan itu.
