Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kami sedia' - Bersih sahut seruan Rafizi gerakkan demo tolak Azam
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 9:33 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Badan pemantau reformasi pilihan raya, Bersih, menyatakan kesediaan untuk menggerakkan satu perhimpunan aman bagi membantah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan menggesa reformasi terhadap badan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Bersih, Faisal Aziz, berkata badan itu bersedia untuk bekerjasama dengan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli atau mana-mana pihak untuk menggerakan himpunan aman.

"Ia isu besar yang memerlukan gerakan rakyat untuk memastikan SPRM benar-benar dibersihkan.

"Tuntutan Bersih jelas, siasatan bebas perlu dilakukan dan kerajaan harus laksanakan agenda reformasi SPRM segera,” katanya dalam hantaran di X.

Faisal berkata Bersih juga akan mengadakan pertemuan bersama rakan-rakan gabungan dalam masa terdekat untuk membincangkan secara terperinci berkaitan tindakan yang bakal digerakkan termasuk perhimpunan aman.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan sama ada Bersih akan turut menyertai demonstrasi yang dijadualkan berlangsung Ahad ini atau sebaliknya.

Terdahulu, Rafizi berkata dia akan menulis kepada Bersih untuk mencadangkan penganjuran perhimpunan aman bagi membolehkan orang ramai membantah dan menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan yang melibatkan SPRM.

Dalam sidang media itu, bekas menteri ekonomi itu berkata dia juga akan menggerakkan parti komponen PH untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menggantung Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dan melancarkan siasatan terhadapnya.

Demo Ahad

Secara berasingan, satu lagi kumpulan — dikenali sebagai Sekretariat #TangkapAzamBaki — mengumumkan bahawa satu demontrasi akan diadakan pada jam 4 petang Ahad ini sebagai reaksi terhadap pendedahan terbaru berkaitan ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Kumpulan sama sebelum ini pernah menganjurkan protes pada tahun 2022 bagi menuntut tindakan terhadap Azam, susulan satu lagi kontroversi pemilikan saham melibatkannya.

Rafizi turut mengesahkan dia akan menyertai demo pada Ahad ini.

Laporan Bloomberg dan Malaysiakini baru-baru ini mendedahkan pegangan saham milik Azam yang dilihat melebihi had yang ditetapkan ke atas penjawat awam.

Laporan Bloomberg juga mendakwa Azam mengetahui kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang didakwa bersekongkol dengan unit penyiasatan SPRM dikenali sebagai “Seksyen D”.

Azam menafikan sebarang salah laku dan berkata pemilikan saham itu telah diisytiharkan dengan sewajarnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala SPRM menyatakan suruhanjaya itu enggan mengulas laporan media asing yang dianggap “berniat jahat”.

Azam menerusi peguamnya menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta daripada Bloomberg atas dakwaan menjejaskan reputasi dan kedudukan profesional ketua pesuruhjaya SPRM itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS