Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas dipecat, Hamzah kongsi gambar minum petang dengan Hadi
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 10:14 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Ketika Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melakukan gerakan untuk menyingkirkan para pengkritiknya, timbalannya yang dipecat, Hamzah Zainudin, kelihatan tidak terkesan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Larut itu berkongsi sekeping gambar yang dipercayai dirakam di kediaman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Rusila, Terengganu, petang tadi.

“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” kata Hamzah, yang baru pulang dari Sydney, Australia.

Hadi dilihat duduk di hujung meja, dengan Hamzah di sebelahnya, bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang kedua-duanya sebelum ini dipecat daripada Bersatu.

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, yang secara terbuka menyokong Hamzah namun setakat ini tidak dikenakan tindakan disiplin, turut hadir.

Dari PAS pula, kelihatan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Hadi dilaporkan tidak sehaluan dengan Muhyiddin berhubung pengganti bagi jawatan pengerusi PN.

Pada Selasa, Takiyuddin berkata dia secara peribadi serta PAS tidak akan campur tangan dalam kemelut dalaman Bersatu antara kem yang menyokong Muhyiddin dan Hamzah.

Badan disiplin Bersatu telah memecat 17 ahli berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, pergolakan dalam parti itu berterusan apabila laman Facebook rasminya, yang ditubuhkan ketika Wan Saiful memegang jawatan ketua penerangan, melancarkan serangan terbuka menerusi beberapa hantaran terhadap Muhyiddin dan kepimpinan yang masih ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS