Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui dia kurang memberi tumpuan kepada parti sejak menjadi perdana menteri.
Anwar berkata ini kerana dia menumpukan perhatiannya kepada usaha “membetulkan kerajaan”.
"Saya akui sejak tiga tahun lepas, sejak saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya kurang tumpukan kepada parti kerana saya nak betulkan ekonomi, nak betulkan kerajaan.
"Orang boleh cakap apa-apa pun, tugas kita kerja dan tahu pilihan kita. Kalau ada isu, kita kena jawab setiap isu dibangkitkan dengan kisah benar, bukannya reka," katanya seperti dilapor Bernama, ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah di Alor Setar, semalam.
Anwar bagaimanapun menganggap kedudukan PKR kini berada pada tahap terbaik dan kekuatan perlu terus dibina agar parti terus utuh.
Menyifatkan PKR menghadapi cabaran lebih berat berbanding parti yang lain, Anwar menegaskan kerjasama sebagai satu pasukan mampu menggerakkan kekuatan, sekali gus memastikan kemenangan kepada parti.
"Tumpu (kaedah) nak bina kekuatan supaya 'kapal yang belayar boleh berlabuh dengan bergaya dan mantap'," katanya.
Tambahnya, semua pihak tidak boleh menganggap bahawa semua perkara dalam parti adalah sempurna.
Dia juga mengingatkan bahawa perjuangan parti perlu bersandarkan fakta dan tiada negara di dunia ini yang maju dengan menanam bibit kebencian.
Pandangan orang yang penuh dengan kebencian, katanya, tidak perlu dilayan, sebaliknya jalankanlah tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.
"Parti pembangkang boleh bercakap mereka mahu memartabatkan Islam, namun Islam itu bukan pada pengucapannya sahaja, tetapi juga pada amalnya dan prinsip keadilannya serta pelaksanaan kata-katanya," katanya.
Anwar berkata PKR sangat memandang serius soal Islam yang merupakan agama Persekutuan, namun tugas PKR adalah untuk memurnikan keadaan dan tidak berdolak-dalik.
