Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pergeseran Lim-Sim: Jawatan ahli majlis cetus semula pertelingkahan DAP P Pinang

Pada 4 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawat Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) untuk menyerahkan peruntukan kerajaan.

Kekeliruan tempat duduk yang berisiko merosakkan majlis itu berjaya diselesaikan hasil sikap bertolak ansur Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, menawarkan untuk berpindah tempat duduknya dan rakan-rakannya ke barisan nombor dua.

Ia membolehkan tuan rumah iaitu Presiden TAR UMT Lee Sze Wei dan Pengerusi Lembaga Pengarah yang juga bekas timbalan presiden MCA, Chan Kong Choy, duduk di barisan hadapan bersama Anwar.

Walaupun kekeliruan mengenai tempat duduk itu diselesaikan, satu pergeseran yang jauh lebih serius sedang tercetus di tempat lain.

DAP Pulau Pinang kini terlibat dalam perebutan dalaman berhubung pelantikan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), yang telah bertukar menjadi pertembungan proksi antara dua kem.

Secara permukaan, kemelut itu tercetus susulan penyingkiran ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Ng.

Steven Sim

Namun secara tersirat, ia dilihat sebagai pelanjutan perebutan kuasa antara bekas ketua menteri Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim.

Ia juga memberi bayangan pertempuran awal berhubung kawalan pemilihan calon bagi pilihan raya umum (PRU) dan negeri (PRN) yang akan datang di Pulau Mutiara itu.

Jika tidak ditangani dengan baik, persaingan antara dua kem itu mungkin tidak terhenti pada satu kerusi majlis bandaraya sahaja. Ia berpotensi menggugat asas politik yang telah mengekalkan DAP berkuasa di Pulau Pinang selama hampir dua dekad.

Pertikaian pemilihan ahli majlis

Kontroversi bermula pada 7 Feb apabila Lim secara terbuka mempertahankan Ng, memuji sikap dedikasi dan prestasi perkhidmatannya sambil mempersoalkan mengapa dia tidak dilantik semula.

Ahli Parlimen Bagan itu mendedahkan bahawa dia telah menulis kepada jawatankuasa negeri DAP Pulau Pinang untuk mendapatkan penjelasan.

Dua hari kemudian, Sim menjawab bahawa senarai ahli majlis bandaraya telah diluluskan secara kolektif oleh jawatankuasa negeri. Dalam satu temu bual media, dia turut mendedahkan bahawa Lim telah menghubunginya melalui WhatsApp berhubung perkara itu sejak Disember lalu.

“Saya menjelaskan bahawa ini adalah prosedur parti, dan kita bertindak sewajarnya. Sesiapa yang dilantik pasti akan bekerja keras untuk berkhidmat. Jika seseorang tidak diberi jawatan, dia masih boleh berkhidmat melalui saluran lain,” kata Sim.

Pada 11 Feb, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengeluarkan kenyataan, menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mematuhi prosedur undang-undang dan pencalonan rasmi dalam melantik ahli majlis PBT.

Chow Kon Yeow

Menurut Chow, DAP Pulau Pinang menyerahkan senarai pencalonan melalui setiausaha negeri Lim Hui Ying pada 15 Dis, dan nama Ng tidak tersenarai. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kemudiannya meluluskan senarai tersebut pada 17 Dis.

Chow turut menolak dakwaan Lim bahawa nama Ng telah “dipadam oleh ketua menteri” sebagai tidak berasas, sambil mengingatkan bahawa kenyataan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ketua menteri.

Pada 12 Feb, Lim membalas dengan menjelaskan bahawa dia menyebut ketua menteri dalam ucapan asalnya kerana dari segi undang-undang, hanya ketua menteri mempunyai kuasa melantik ahli majlis PBT – namun pada hakikatnya, Sim yang enggan mencalonkan semula Ng.

“Ng memaklumkan kepada saya bahawa dia tidak mempunyai persepsi negatif atau rasa tidak puas hati terhadap ketua menteri, kerana dia memahami bahawa keputusan untuk menggugurkan namanya datang daripada Sim, mewakili jawatankuasa negeri DAP Pulau Pinang, dan bukan daripada ketua menteri,” kata Lim.

Dengan lebih tegas, Lim menambah bahawa “ketua menteri sekadar bertindak sebagai cop getah untuk mengesahkan keputusan Sim menyingkirkan Ng”.

Perebutan kuasa yang lebih mendalam

Sebenarnya, pergeseran ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Sim sebelum ini dilihat sebagai tokoh penting dalam kem Lim. Namun dalam pemilihan parti DAP Pulau Pinang 2024, Sim membentuk pasukannya sendiri, seterusnya berjaya memenangi jawatan pengerusi negeri.

Sejak itu, kedua-dua kem terus berpecah. Kem Lim melabel Sim sebagai “pengkhianat”, manakala kem Sim dilaporkan melancarkan gerakan anti-Lim yang digelar “deity sent-off” (menghantar dewa pulang) semasa pemilihan parti pada Mac tahun lalu.


Baca berkaitan: PANDUANKINI | 'Hantar dewa pulang': Apa itu gerakan anti-Guan Eng


Walaupun Lim kekal sebagai ahli jawatankuasa eksekutif pusat, dia kehilangan jawatan pengerusi kebangsaan dan ditugaskan semula sebagai penasihat. Sekutu-sekutunya turut mengalami kekalahan besar.

Selepas pemilihan parti tahun lalu, Loke memberitahu Malaysiakini betapa dia berharap Sim dapat menyatukan DAP Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun.

Namun berdasarkan episod Ng ini, jalan menuju perpaduan masih jauh.

Sejak Sim menjadi menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Lim berulang kali membangkitkan isu berkaitan SME Bank – satu langkah yang dilihat sebagai serangan tersirat terhadap kementerian Sim.

Sindiran halus dan kecaman terbuka

Pada 19 Jan, Sim memuat naik gambar bersama Chow di Facebook, memuji gaya kepimpinan Chow sebagai “berhemah dan rendah diri”, sambil menambah bahawa “pemimpin hebat tidak perlu menggunakan hinaan, kata-kata kesat atau membuat bising”.

Keesokan harinya, Lim memuat naik kenyataan bahawa “apa yang kita buat akan kembali kepada kita”, sambil menambah bahawa mereka akan menyokong pihak yang benar-benar menghasilkan keputusan, bukannya bergantung kepada mesin publisiti dan pakej politik.

Walaupun tiada nama disebut, maksud tersiratnya jelas.

Lim Guan Eng

Rabu lalu, bekas setiausaha DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik memuat naik di Facebook dengan mempersoalkan latar belakang Sim, mendakwa bahawa “tiada siapa dalam parti yang mengetahui masa lalunya”, serta membayangkan bahawa Sim hanya menyertai parti selepas PRU 2008 apabila DAP mula berkuasa.

Tindakan itu mendorong setiausaha pengelola kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong, mendedahkan butiran keahlian parti Sim bagi menafikan dakwaan Ng dan memberi penjelasan.

Selepas beberapa hari pertikaman lidah yang semakin memuncak, bekas ahli jawatankuasa pusat DAP Teng Chang Khim memuat naik amaran di Facebook.

“Jika jawatan kecil pun boleh mencetuskan kekecohan besar sebegini, masa depan kerajaan negeri Pulau Pinang kelihatan terancam.

“Nampaknya ketua menteri dan ketua parti negeri perlu melihat gambaran lebih besar – korbankan seorang dan ‘kembalikan’ jawatan itu kepada ‘tokong’!” tulis Teng, merujuk kepada gelaran popular Lim.

Walaupun bersifat sindiran, kenyataannya menegaskan satu hakikat serius: jika jawatan ahli majlis bandaraya pun boleh mencetuskan perang proksi, rundingan calon bagi PRU dan PRN akan datang hampir pasti jauh lebih sengit.

Pengajaran daripada Gerakan

Seorang pemimpin kanan DAP memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun isu ini akan memberi kesan tertentu, ia tidak mungkin berkembang menjadi perebutan jawatan ketua menteri atau boleh menyebabkan parti itu kehilangan kuasa di Pulau Pinang.

Seorang lagi pemimpin akar umbi berkata apabila pilihan raya semakin hampir, ahli parti lazimnya akan mengetepikan pertikaian kem demi kepentingan lebih besar.

Namun persoalan penggantian kepimpinan di Pulau Pinang kini tidak dapat dielakkan.

Pada PRU 2008, Gerakan kehilangan Pulau Pinang di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai pengganti ketua menteri. Sejak itu, Gerakan tidak pernah benar-benar bangkit semula.

Dengan Chow kini berkhidmat untuk penggal terakhirnya, perancangan penggantian telah pun bermula. Pemerhati politik secara meluas menjangkakan Sim akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang sebagai langkah membuka laluan merebut jawatan ketua menteri.

Namun sebelum DUN dibubarkan, persoalannya kekal: mampukah Sim benar-benar menyatukan DAP Pulau Pinang?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS